JOHOR BAHRU: Polis menahan tiga lelaki warga tempatan disyaki terlibat dalam kes rogol berkumpulan membabitkan seorang kanak-kanak perempuan bawah umur, pada dua minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kesemua mereka berusia 24 hingga 30 tahun, ditahan antara jam 3.30 pagi hingga 6.00 pagi, pada Selasa.

"Pada Selasa jam lebih kurang 3.19 pagi pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam telah menerima satu laporan daripada seorang kanak-kanak perempuan warga tempatan berumur 14 tahun, melaporkan telah dirogol oleh empat lelaki warga tempatan secara bergilir- gilir.

"Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kediaman di kawasan Ulu Tiram antara jam lebih kurang 1 pagi hingga 3 pagi, pada 14 Mei lalu.

"Bertindak atas maklumat itu, hasil serbuan yang dijalankan di sekitar Ulu Tiram, pihak polis berjaya membuat tangkapan terhadap tiga daripada suspek, antara 3.30 pagi hingga 6 pagi, hari sama," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Menurut beliau, dua daripada mereka dikesan positif dadah jenis methamphetamine, manakala hasil semakan turut mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah dan jenayah.

Tambahnya, pihak polis turut membuat rampasan terhadap dua buah telefon bimbit, dua keratan kain permukaan tilam yang terdapat kesan tompokan disyaki darah, serta sehelai kain cadar yang disyaki terdapat kesan air mani.

Ketiga tiga suspek sedang ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama enam hari hingga Ahad depan.

Dalam pada itu, polis turut sedang giat mengesan seorang lagi individu warga tempatan yang masih bebas bagi membantu siasatan.

Menurut Sohaimi, suspek yang berusia 27 tahun, masih diburu pihak polis.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintendan Polis (ASP) Addie Remie Jasmin di talian 013-8636343 atau 07-3864222.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 375 B Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara bagi suatu tempoh yang tidak kurang daripada sepuluh tahun dan tidak lebih tiga puluh tahun," tambahnya.