IPOH: Pasukan penyelamat mengambil masa tiga jam untuk membawa turun mayat seorang lelaki warga emas yang meninggal dunia selepas hilang ketika melakukan aktiviti mendaki di Puncak Jelapang.

Mangsa, Lau Sam, 84 tahun, yang hilang pada 11 Mac lalu, ditemui oleh sekumpulan malim gunung yang membantu operasi mencari dan menyelamat.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota bomba, termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), polis dan malim gunung, mengambil masa tiga jam untuk membawa mayat mangsa turun ke kaki bukit.

“Mangsa dibawa turun dengan menggunakan ‘sked stretcher’ dan diserahkan kepada pihak polis pada jam 3.01 pagi untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pada 11 Mac, mangsa dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian bersama sekumpulan tujuh rakan di Puncak Jelapang di sini.

Difahamkan, kehilangan mangsa disedari ahli kumpulannya sekitar pukul 6 petang setelah didapati tidak tiba di kaki bukit yang kemudian bertindak mendaki semula bagi mencari mangsa.

BACA: Perluas operasi cari pendaki hilang - Bomba

Pihak JBPM Perak menerima panggilan mengenai kehilangan itu pada 1.17 pagi, 12 Mac lalu.

Pihak bomba bersama-sama agensi lain seperti polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) kemudiannya melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR), termasuk menggunakan khidmat Unit Pengesan (K9).

Pihak keluarga pula turut menawarkan ganjaran RM10,000 kepada sesiapa yang dapat menjumpai mangsa.