STANSTED: Tiga kanak-kanak lelaki berusia lapan, 10 dan 11 tahun maut, manakala seorang lagi berada dalam keadaan kritikal selepas terjerlus ke dalam sebuah tasik berdekatan Birmingham pada Isnin ketika United Kingdom (UK) dilanda salji lebat.

Kejadian berlaku di sebuah tasik di Taman Babbs Mill di Solihull.

Mangsa alami serangan jantung dan dikejarkan ke hospital selepas ditarik keluar dari tasik itu, namun tidak dapat diselamatkan.

Polis West Midlands berkata, kanak-kanak lelaki keempat yang berumur enam tahun pula masih berada dalam keadaan kritikal di hospital.

Sementara itu, beberapa saksi dilaporkan melihat kanak-kanak lain turut berada di atas tasik berkenaan yang permukaannya membeku.

Pencarian diteruskan di tasik itu dan pada masa sama usaha dipergiat untuk mengenal pasti apa yang berlaku.

Salji lebat membadai UK sehingga menjejaskan banyak perjalanan, malah sesetengah kawasan mencatat penurunan suhu mencecah negatif 10 darjah Celsius.

Pejabat meteorologi mengeluarkan amaran kuning bagi salji, kabus serta fros di beberapa kawasan, termasuk tenggara dan barat daya England serta utara Scotland.