MALAYSIA
Tiga kedai, sebuah rumah musnah dalam kebakaran

Kebakaran yang melibatkan tiga kedai dan sebuah rumah itu menyebabkan semua ubat dan peralatan perawatan di dalam premis yang disewa Lukman musnah sama sekali. - Gambar media sosial
KUALA NERUS: Seorang peniaga di Batu Enam, di sini, kerugian lebih RM200,000 apabila kedai ubat tradisional dan homeopati yang diusahakan sejak 31 tahun lepas musnah dalam kebakaran tengah malam tadi.
Lukman Mamad, 67, berkata, kebakaran yang melibatkan tiga kedai dan sebuah rumah itu menyebabkan semua ubat dan peralatan perawatan di dalam premis yang disewanya musnah sama sekali.
"Semalam saya tutup kedai sekitar 6 petang dan balik ke rumah di Losong (di Kuala Terengganu). Pada 11 malam ketika saya menghadiri perjumpaan dengan rakan-rakan, anak menghubungi saya dan beritahu kedai terbakar.
"Saya pun bergegas ke Batu Enam dan lihat api sedang marak. Terdapat juga letupan yang agak kuat kerana premis di sebelah kedai saya adalah kedai dobi layan diri dan mempunyai banyak tong gas," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.Lukman juga memberitahu, pengusaha kedai dobi tersebut merupakan pemilik bangunan kedai yang disewanya itu dan lelaki tersebut tinggal di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Azmi Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada 11.37 malam tadi.
Beliau berkata, 28 pegawai dan anggota dari BBP Kuala Nerus, BBP Kuala Terengganu, BBP Jalan Kota dan Balai Bomba Sukarela Sri Nerus telah bergegas ke lokasi.
"Kebakaran melibatkan deretan tiga kedai separuh kekal. Dalam kejadian tersebut sebuah kedai makan musnah 50 peratus manakala kedai dobi layan diri dan kedai ubat masing-masing musnah 70 peratus.
"Kejadian turut melibatkan sebuah rumah di belakang bangunan kedai tersebut, dengan kemusnahan sebanyak 50 peratus. Oleh kerana bangunan kedai dan rumah adalah separuh kekal iaitu bahagian atas merupakan binaan kayu yang telah lama jadi api cepat marak," katanya kepada pemberita.
Azmi berkata, api berjaya dikawal dalam masa 45 minit dan punca kejadian serta anggaran keseluruhan kerugian masih dalam siasatan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami