Skip to main content

Malaysia

Tiga lelaki didakwa bakar tiga kereta isteri aktivis 'Cikgu Chandra'

Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas satu pertuduhan membakar tiga kereta milik isteri aktivis masyarakat, Cikgu Chandra._Sinar Harian
Pemandu trak tunda, A. Kumaran, 34, pengawal keselamatan S. Kisshen Nair, 32, dan pemandu lori P. Surendran, 37, didakwa bersama-sama melakukan khianat dengan api ke atas dua kereta jenis Perodua serta sebuah kereta Proton milik M.Sri Uma Mahesvary, 50, sehingga mengakibatkan kerugian anggaran RM80,000, pada 3 pagi, 10 Mac lepas. -Foto Sinar Harian
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan membakar tiga kereta milik isteri kepada aktivis yang dikenali sebagai ‘Cikgu Chandra’ di sebuah rumah di Taman Kinrara, Puchong Mac lepas.

Pemandu trak tunda, A. Kumaran, 34, pengawal keselamatan S. Kisshen Nair, 32, dan pemandu lori P. Surendran, 37, didakwa bersama-sama melakukan khianat dengan api ke atas dua kereta jenis Perodua serta sebuah kereta Proton milik M.Sri Uma Mahesvary, 50, sehingga mengakibatkan kerugian anggaran RM80,000, pada 3 pagi, 10 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 435 kanun keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan yang dilakukan ketiga-tiga tertuduh adalah serius dan tidak boleh dijamin.

"Sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis, tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport kepada mahkamah," kata Nurfadzlin.

Peguam Vinesh Segar yang mewakili kesemua tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan atas alasan ketiga-tiga anak guamnya menanggung keluarga, dan mereka yang belum lagi dibuktikan bersalah juga telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.

Hakim Noor Ruzilawati Mohd Nor membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 berserta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.

Sebelum ini, media melaporkan polis membuka dua kertas siasatan berhubung insiden khianat serta ugutan jenayah membabitkan aktivis ‘Cikgu Chandra’ yang berlaku di kawasan perumahan terbabit.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement