GEORGE TOWN: Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai menjalankan kegiatan jenayah mereka dengan menyamar polis, sebelum bertindak mencederakan dan menyamun mangsa, dalam beberapa serbuan di Bayan Lepas dekat sini dua hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Rahimi Ra'ais berkata tiga lelaki berusia 24 hingga 30-an itu, ditahan secara berasingan bermula pukul 1 tengah hari, susulan laporan polis dibuat seorang lelaki yang menjadi mangsa mereka.

"Menurut mangsa yang bekerja di sebuah kedai makan di Jalan Datuk Keramat, di sini pada 11.30 malam 31 Mac lepas, dia didatangi dua lelaki yang mengaku sebagai anggota polis sebelum mereka membawanya ke kawasan gelap di bahagian belakang kedai tersebut.

"Dua lelaki itu kemudiannya bertindak menumbuk perut mangsa, sebelum memaksanya menyerahkan duit dengan cara pemindahan wang secara dalam talian sebanyak RM1,000 ke satu akaun bank, yang diarahkan suspek," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya siasatan lanjut sedang dijalankan, bagi mengesan sama ada tiga lelaki itu turut terlibat dalam beberapa kes menyamar polis atau jenayah lain, di Pulau Pinang.

Rahimi berkata ekoran penahanan tiga lelaki itu, polis merampas dua unit telefon bimbit, satu unit beg, satu paket syabu dan sekeping kad bank, untuk siasatan lanjut.

"Pemeriksaan mendapati mereka yang ditahan bekerja sebagai pengawal keselamatan, penghantar barang dan penganggur itu, mempunyai dua hingga 10 pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah," katanya.

Katanya tiga lelaki yang positif dadah itu, kini direman sehingga 19 April bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 395 serta 170 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA