KUALA LANGAT: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket yang aktif meragut di sekitar daerah ini dengan tertangkapnya dalang dan dua ahli kumpulan itu dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Teluk Panglima Garang dan Jenjarum di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, pihak polis menerima laporan daripada seorang suri rumah berusia 43 tahun pada 9 Mac lalu, mendakwa telefon bimbit jenis Samsung Galaxy S10 miliknya diragut di Jalan Rentaka Taman Panglima, Telok Panglima Garang di sini.

"Bertindak atas maklumat, pada 6 April, jam 11.30 malam, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat berjaya menahan seorang lelaki tempatan di sekitar Telok Panglima Garang.

"Hasil soal siasat suspek pertama, serbuan kedua dijalankan di sekitar Telok Panglima Garang pada 7 April, jam 12.30 tengah malam dan berjaya menahan rakan sejenayah yang merupakan seorang lelaki tempatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek, pihak polis menjalankan satu lagi serbuan di sekitar Jenjarum di sini dan berjaya memberkas dalang utama sindiket terbabit.

Ahmad Ridhwan berkata, kumpulan berkenaan aktif sejak tiga bulan yang lalu dan dengan tertangkapnya semua suspek beliau percaya pihak polis berjaya menyelesaikan enam kes ragut di daerah ini.

"Pihak polis juga berjaya menemui semula barang-barang milik mangsa dan sejumlah barang disyaki hasil daripada kegiatan ragut di sekitar Kuala Langat.

"Kesemua suspek yang ditangkap adalah lelaki tempatan berumur lingkungan 23 tahun hingga 29 tahun, masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah samun dan ragut," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek direman enam hari di lokap IPD Kuala Langat untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak.


*Berita asal di Sinar Harian