KEMAMAN:Tiga sekeluarga melalui detik mendebarkan selepas terperangkap di dalam banjir sebelum kereta mereka dihanyutkan arus.

Kejadian berlaku Bandar Cheneh Baru, Kemaman, Terengganu kira-kira jam 7 pagi tadi.

Ketika kejadian pemandu berumur 34 tahun dan bersama isteri dan anak lelakinya yang berusia 6 tahun  dikatakan dalam perjalanan untuk bersarapan.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh, Tuan Mohamad Hanif Che Khalid, sejurus tiba di lokasi kejadian tiga beranak itu dipercayai cuba meredah air banjir sedalam anggaran satu meter.

Bagaimanapun selepas 80 meter meredah laluan itu kereta jenis Toyota Avanza yang dinaiki mereka dibawa arus deras.

BACA: Myvi dihanyut arus, pemandu terperangkap diselamat pengguna jalan raya

Kesemua mangsa bagaimanapun sempat keluar menyelamatkan diri.

Beliau berkata seramai 10 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan kejadian.

Pihak bomba mengambil masa 2 jam untuk menaikkan kereta mangsa ke tempat selamat.