KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja Prak Sokhonn akan mempengerusikan bersama Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) Malaysia-Kemboja kali ketiga sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke Malaysia yang bermula hari ini.
Pada Selasa, Prak Sokhonn akan mempengerusikan bersama Mesyuarat JCBC ketiga di Kuala Lumpur bersama Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, sekali gus menandakan penyambungan semula mekanisme dua hala itu selepas terhenti selama 20 tahun.
Kementerian Luar dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan lawatan itu berlangsung menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Kemboja pada 2027 serta mencerminkan perkongsian erat dan berkekalan antara kedua-dua negara.
Kementerian itu, yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra, berkata Prak Sokhonn dijadual mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin, dengan kedua-dua pemimpin dijangka menegaskan semula hubungan yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Kemboja serta bertukar pandangan mengenai isu-isu berkepentingan bersama.
Kementerian Luar memaklumkan bahawa penganjuran mesyuarat JCBC ketiga itu menyusuli tempoh dua dekad sejak mesyuarat kedua diadakan di Siem Reap pada 2006.
Menurut kementerian itu, mesyuarat berkenaan mencerminkan momentum baharu dalam hubungan Malaysia-Kemboja serta komitmen bersama kedua-dua negara untuk meningkatkan kerjasama dua hala.
Pada akhir mesyuarat itu, kedua-dua menteri luar dijangka menandatangani Minit Dipersetujui JCBC ketiga yang menggariskan hasil utama perbincangan serta menegaskan komitmen Malaysia dan Kemboja untuk memperkukuh kerjasama dua hala.
Malaysia dan Kemboja merekodkan pertumbuhan perdagangan yang kukuh pada 2025, dengan perdagangan dua hala meningkat 27.4 peratus tahun ke tahun kepada RM5 bilion (AS$1.17 bilion).
Eksport Malaysia ke Kemboja berjumlah RM4.13 bilion (AS$970 juta), manakala import pula bernilai RM880 juta (AS$200 juta).
Sehingga 2024, pelaburan terkumpul Malaysia di Kemboja mencecah AS$3.20 bilion (RM13.07 bilion) merangkumi 162 projek berdaftar, sekali gus menjadikan Malaysia pelabur asing ketiga terbesar di negara itu.
-- BERNAMA