Cadangan kerajaan menggubal rang undang-undang baharu bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 dengan menetapkan tindakan merotan kanak-kanak menjadi satu kesalahan jenayah perlu diperhalusi agar tidak menimbulkan kesan dan implikasi negatif berbanding positif kepada masyarakat.

Ketua Pemuda Umno Johor Hahasrin Hashim berkata walaupun terikat dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), kerajaan perlu terlebih dahulumerujuk kepada budaya masyarakat Malaysia serta pegangan agama Islam sebelum akta baharu itu dibentangkan di Kabinet.

"Rentetan kes Azizul Raheem dan Shalwati Norshal di Sweden pada tahun 2014 telah mewujudkan persepsi baharu dalam masyarakat Malaysia tentang terma mendisiplinkan anak.

"Majoriti masyarakat di Malaysia malah Islam tidak menolak rotan jika perbuatan itu tidak mencederakan anak," katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini.

Pada Jumaat, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim mengumumkan merotan kanak-kanak bakal menjadi satu kesalahan jenayah jika rang undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 dibentangkan di Kabinet Jun depan dengan mengenakan hukuman terhadap ibu bapa atau pihak lain yang bertanggungjawab terhadap mereka, diluluskan.

Rohani berkata hukuman terhadap kesalahan merotan perlu dilaksanakan kerana negara telah menandatangani perjanjian CRC.

Hahasrin berkata Pemuda Umno Johor tidak bersetuju jika akta kanak-kanak yang bakal dibentangkan itu memberi laluan kepada kesalahan jenayah diletakkan ke atas ibu bapa yang merotan anak mereka.

Beliau turut berkata masyarakat perlu diberi penerangan umum mengenai perkara ini sebelum ia dibentangkan di Parlimen kelak. Kajian juga perlu dijalankan untuk kepentingan kanak-kanak di Malaysia.

Terma memukul perlu dibezakan antara memukul bagi tujuan mendidik dan memukul yang membawa kemudaratan kepada kanak-kanak tersebut, tambah Hahasrin.

"Ini bagi menidakkan mana-mana pihak untuk mengeksploitasikan akta baharu berkenaan untuk kepentingan peribadi dan agenda tersendiri seperti apa yang berlaku di negara barat umumnya," kata nya.