TAPAH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan dakwaan kononnya terdapat ahli parti itu yang menipu tarikh keahlian masing-masing kerana mahu bertanding dalam pemilihan parti.

Sehubungan itu, dakwaan yang dibuat oleh Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, disifatkan sekadar dakwaan politik.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, jika perkara itu benar-benar berlaku, sudah tentu Mukhriz yang merupakan Timbalan Presiden Bersatu ketika itu, akan mengambil tindakan.

Sebaliknya, tegas Ahmad Faizal, berikutan tiada sebarang tindakan diambil, ia membawa maksud tidak ada kepincangan yang berlaku.

“Jika benar berlaku tentunya beliau akan ambil tindakan pada ketika itu kerana beliau juga adalah Timbalan Presiden sewaktu, sebelum pemilihan diadakan.

“Tapi kalau tak ada tindakan tu, maknanya tak ada adalah yang berlaku. Jadi saya fikir saya yakin beliau sebagai Timbalan Presiden kami pada ketika itu tentunya akan ambil tindakan tegas jika perkara sebegitu berlaku. Dan dakwaan beliau mungkin sekadar dakwaan politik,” kata Ahmad Faizal.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selepas Kejohanan Futsal Peja Trophy Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang di sini, pada Ahad.

Terdahulu, Mukhriz mendakwa, ada ahli Bersatu menipu tarikh keahlian masing-masing kerana mahu bertanding dalam pemilihan parti tersebut sehingga menimbulkan masalah termasuk melantik pemimpin yang tidak ada pengalaman.

Tindakan itu, dakwa Mukhriz, berlaku sejurus Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan menyebabkan lembaga disiplin parti berkenaan ‘sangat sibuk’ kerana terpaksa menumpukan lebih masa untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Dakwanya, penipuan tarikh itu dilakukan susulan perlembagaan parti yang menetapkan mana-mana individu yang mahu bertanding sebarang pemilihan dalaman parti haruslah mempunyai rekod keahlian lebih satu tahun.

Kesan daripada itu, terdapat ahli baharu yang datang daripada UMNO telah menganjak tarikh mula menjadi ahli dan seterusnya bertanding dalam pemilihan Bersatu sehingga mengakibatkan ramai calon yang tidak arif soal percaturan dalaman akhirnya tewas.