KUALA LUMPUR: Titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam agar rakyat menjauhi perasaan hasad dengki serta amalan fitnah-memfitnah dilihat tepat sebagai peringatan bahawa semua pihak harus bersatu dan menjunjung sifat-sifat baik budi pekerti.

Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA Mujibu Abdul Muis berkata titah itu selaras dengan keadaan negara yang berbilang bangsa dan beraneka ragam.

"Justeru semua pihak perlu berfikiran terbuka, menghormati satu sama lain dan bertoleransi dalam setiap keadaan di saat Pilihan Raya Negeri (PRN) yang semakin hampir.

"Apapun yang berlaku, sentiasa menjunjung tinggi Perlembagaan dan meletakkan semangat Rukun Negara walau apapun pegangan dan ideologi politik yang diikuti," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2023 Masihi, Seri Paduka turut menitahkan supaya rakyat tidak berfikiran sempit dan negatif kerana sifat serta amalan itu tidak akan mendatangkan faedah kepada bangsa dan negara.

Penganalisis politik dan penulis buku 'Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Tadbir dan Menang' Dr G.Manimaran pula mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya mengkaji semula peruntukan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya bagi membolehkan tindakan tegas dapat diambil terhadap parti serta calon yang menggunakan pendekatan hasad dengki sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.

Beliau berkata ini kerana politik hasad dengki, fitnah-memfitnah dan penggunaan pendekatan agama serta kaum tidak sesuai bagi Malaysia yang bersifat majmuk.

"Fokus kepada isu-isu rakyat bukannya amalan yang boleh menggugat kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran negara," katanya.

Manimaran juga berkata parti-parti politik perlu mengelak daripada menggunakan amalan tidak harmoni khususnya apabila PRN semakin hampir.

Ketua Jabatan Sains Sosial dan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Korikulum Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) Dr Harliana Halim ketika dihubungi berkata semua pihak perlu menjalankan tanggungjawab dan peranan utama sebagai warganegara untuk mentaati dan menjunjung titah Seri Paduka.

"Seharusnya titah Seri Paduka untuk menjauhi hasad dan fitnah benar-benar dihayati dalam PRN akan datang bagi memelihara perpaduan.

"Aktiviti dan tindakan semua pihak sama ada ahli politik, pemimpin masyarakat dan rakyat semasa PRN yang boleh mengundang kepada tergugatnya perpaduan terutama dalam konteks isu sensitif perlu dielakkan," katanya.

Beliau juga berkata adalah penting bagi rakyat untuk memastikan bahawa titah Seri Paduka dijunjung kerana perpaduan merupakan kayu pengukur dan teras kepada keutuhan serta kestabilan negara.

-- BERNAMA