KUALA LUMPUR: Sebagai pemain utama dalam bidang teknologi dan komunikasi, TM One memainkan peranan penting dalam mewujudkan perkhidmatan digital yang lestari untuk semua rakyat Malaysia.

Menurut Naib Presiden Eksekutifnya, Shazurawati Abd Karim, dengan komitmen kukuh terhadap inovasi dan kecemerlangan, TM One akan memimpin perniagaan dalam menyediakan infrastruktur digital yang diperlukan untuk memacu pertumbuhan ekonomi serta kelestarian alam sekitar.

“Dalam landskap ekonomi perniagaan yang terus berkembang, TM One tidak hanya menyediakan kemudahan fasiliti penggunaan teknologi inovatif, tetapi juga membolehkan akses kepada perkhidmatan digital yang memenuhi keperluan semasa tanpa mengabaikan keperluan masa hadapan.

“Dengan penyediaan rangkaian perkhidmatan berterusan yang luas termasuk jalur lebar, fiber, 5G, satelit, dan hubungan antarabangsa, disokong juga oleh galakan dan insentif kerajaan, Malaysia kini telah menjadi sebuah negara yang memperkasa perniagaan digital untuk kekal berdaya saing sekali gus memacu kelestarian ekonomi negara secara keseluruhan,” jelasnya.

Justeru melalui pendekatan ini, TM One berperanan sebagai peneraju dalam memperkenalkan beberapa penyelesaian seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, dan penyelesaian mampan sebagai strategi inovasi penting untuk dimanfaatkan dalam kemantapan tenaga kerja, penyelidikan dan ketelusan ekosistem.

“Penyelesaian AI terbahagi kepada dua kategori utama iaitu AI prediktif dan generative AI generatif.

“Penggunaan AI prediktif mungkin lebih meluas, tetapi pertumbuhan AI generatif juga sangat penting untuk meningkatkan skalabiliti dan daya saing perniagaan di peringkat global,” ujarnya dalam program Niaga AWANI baru-baru ini.

Tambah Shazurawati lagi, keselamatan siber merupakan aspek penting dalam memastikan kemampanan perniagaan daripada ancaman seperti ransomware, serangan DDoS, spam, dan phishing yang kini semakin berleluasa.

“Maka untuk menjamin keselamatan siber yang teguh, perusahaan perlu meningkatkan pelaburan mereka dalam bidang ini.

“Manakala, penyelesaian mampan adalah untuk menambah baik kecekapan operasi, mengurangkan pembaziran, serta meningkatkan pendapatan syarikat tanpa memudaratkan masyarakat mahupun alam sekitar.

“Pelbagai penyelesaian digital dan perkhidmatan pintar yang boleh membantu memacu kemampanan syarikat dan alam sekitar termasuklah IoT, robotic, automasi AI, dan inovasi teknologi hijau,” katanya.

Shazurawati beranggapan tiga penyelesaian inovatif ini penting dalam memastikan aspirasi kemajuan ke arah pembangunan mampan dapat terus dikecapi di sebalik perubahan pesat era digital dan persekitaran global yang semakin mencabar.

Niaga AWANI: Harungi masa depan mampan melalui penyelesaian inovatif