SINGAPURA: Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes dipilih sebagai 'Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik Asia Pasifik' pada majlis Anugerah Aviation 100 Airline Economics Asia Pasifik 2023 di Singapura.

Pengerusi Eksekutif Capital A Datuk Kamarudin Meranun yang mengucapkan tahniah kepada Fernandes berkata pencapaian hebat ini mencerminkan usaha keras, ketabahan dan dedikasi seluruh kru dan kakitangan Capital A.

"Pengiktirafan ini tiba pada waktu yang sangat wajar ketika industri mula bergerak cergas semula, membangun dan berkembang selepas pandemik COVID-19, dan menyerlahkan nilai yang kami sampaikan kepada pelanggan kami sebagai kumpulan perkhidmatan penerbangan dan perjalanan kos rendah yang dipacu nilai.

"Melangkah kehadapan, kami akan meneruskan misi kami dalam menyediakan pengalaman yang tiada tandingan kepada pelanggan kami sambil terus memberi sumbangan positif kepada ekonomi dan industri, di peringkat serantau dan melangkau darinya," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tinjauan pendapat 'Aviation 100' ialah proses yang komprehensif dan menyeluruh sepanjang tahun, yang terdiri daripada undian khusus serantau, dan terkenal dengan kredibilitinya dalam mengenal pasti tokoh paling luar biasa dalam kewangan, pajakan dan undang-undang, bersama-sama dengan eksekutif tertinggi daripada syarikat penerbangan terkemuka.

Majlis anugerah itu diadakan di luar persidangan Airline Economics Growth Frontiers Asia Pasifik, yang dihadiri kira-kira 700 profesional penerbangan.

Diundi oleh pakar industri, termasuk syarikat penerbangan, pemberi pajak, bank, firma guaman dan pihak berkepentingan utama yang lain, tinjauan industri tahunan oleh Airline Economics itu mengiktiraf dan meraikan pemimpin industri yang paling cemerlang.

-- BERNAMA