Pejabat Tourism Malaysia New York menganjurkan majlis minum petang bagi meraikan kumpulan pemuzik perempuan dari Malaysia yang membuat penampilan sulung pada pertandingan Carnegie Hall di sini, dalam persaingan dengan lapan kumpulan muzik sekolah di Amerika Syarikat.

Majlis yang berlangsung di Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu di New York pada Rabu diadakan sebagai penghormatan kepada anggota kumpulan itu terdiri daripada pelajar Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, berusia 13 hingga 17 tahun.

Kumpulan muzik SP Winds itu dianggotai 69 pelajar perempuan yang berpakaian hijab dan seorang konduktor muzik lelaki, memenangi pingat perak pada pertandingan itu pada Isnin, dan menerima sorakan penonton yang melaungkan 'Bravo'.

"Hakikat mereka boleh layak dan bersaing dalam pertandingan Carnegie Hall adalah sebenarnya satu pencapaian besar. Kami juga menjemput profesional dan pengusaha terkemuka sektor pelancongan yang kagum dengan persembahan kumpulan pelajar perempuan itu," kata Naib Presiden Pejabat Tourism Malaysia New York Ahmad Johanif Mohd Ali kepada Bernama.

Menurutnya penampilan kumpulan muzik perempuan itu juga menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai banyak bakat dalam bidang muzik klasik.

Beliau berkata Pejabat Tourism Malaysia New York sedang berusaha mengadakan 'Mega Meet Malaysia' di Kuala Lumpur dari 29 Mac hingga 4 April.

"Kami akan menghantar pengusaha dan ejen pelancongan ke Malaysia," kata Ahmad Johanif.


SP Winds
Kumpulan muzik SP Winds dianggotai 69 pelajar perempuan yang berpakaian hijab dan seorang konduktor muzik lelaki, memenangi pingat perak di pertandingan Carnegie Hall - Foto Facebook Seri Puteri Winds


Sementara itu, konduktor kumpulan muzik itu, Raja Muzafar Shah berkata penyertaan pada Carnegie Hall adalah 'pengalaman unik' kepadanya dan pelajar perempuan tersebut.

"Penonton yang memenuhi auditorium itu memberi tepukan gemuruh. Malah, penonton turut bertepuk tangan ketika kami sedang bermain muzik. Saya rasa mereka sangat gembira menyaksikan kesemua pemuzik perempuan dari Malaysia boleh bermain dengan baik seperti orang Barat.

"Kami mempersembahkan lagu 'Overture to Candide' gubahan Leonhard Bernstein yang merupakan lagu kegemaran semua rakyat Amerika. Penonton sangat kagum dengan persembahan profesional pelajar perempuan kami. Saya sangat gembira dengan keputusan pertandingan ini...kami meraih pingat perak," kata Raja Muzafar.

Kumpulan muzik itu akan menyertai Pertandingan Muzik Dunia di Kerkrad, Belanda pada Julai 2016. Mereka juga merancang mengadakan persembahan bersama Datuk Khadijah Ibrahim di Istana Budaya di Kuala Lumpur pada Januari 2016.

Kumpulan pelajar perempuan itu bersama-sama dengan pengetua dan kakitangan sekolah berkenaan pulang ke tanah air pada Rabu malam.