KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Felcra Berhad (Felcra) menyediakan pelan Transformasi 3.0 yang memberi tumpuan kepada keterjaminan makanan.

Menurutnya, usaha itu mampu mengurangkan kebergantungan kepada import terutamanya melibatkan bahan makanan seperti ayam, daging dan telur.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Felcra diminta menggariskan tiga elemen utama dalam menjayakan transformasi tersebut iaitu tanggungjawab agensi itu kepada sosial, komersial dan membantu menjayakan keterjaminan makanan.

Telur Ayam | Bekalan stabil dan mencukupi

“Keterjaminan makanan memang menjadi asas kepada aktiviti komersial Felcra. Pada hemat saya, kerajaan harus dibantu supaya pengimportan bahan-bahan makanan yang jumlahnya terlalu besar.

“Ia harus diganti dengan pengeluaran makanan dari Felcra dan lain-lain agensi atau ladang komersial pihak swasta. Telah tiba masanya bagi pengurangan pengimportan ini.

“Ia bukan saja bagi menguruskan pertukaran wang asing yang akan akhirnya meletakkan Malaysia sebagai negara yang tidak mempunyai perimbangan dari segi pertukaran wang. Felcra harus mempunyai hala tuju baharu dalam Transformasi 3.0,” katanya.

Harga Barang | Berhemat dalam pembelian, tangani pembaziran makanan

Tambah Ahmad Zahid, beliau menyifatkan tempoh empat tahun dalam mencapai sasaran itu adalah relevan kerana Felcra sudah mempunyai asas dalam penghasilan makanan.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa menghadiri Taklimat Felcra Berhad di Wisma Felcra pada Khamis yang turut dihadiri Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria.

Felcra sebelum ini mempunyai pelanTransformasi 1.0 bagi memperkukuh penstrukturan semula organisasi dan perjawatan pengurusan kewangan agensi itu supaya lebih selari dengan keperluan serta perkembangan semasa.

Felcra kini sedang dalam fasa melaksanakan pelan Transformasi 2.0 membabitkan penggemblengan aktiviti komersial ke arah pengembangan perniagaan dan budaya kerja berwibawa.