KUALA LUMPUR: Trafik menghala ke Genting Highlands di laluan Genting Sempah, Lebuhraya KL-Karak (KLK) masih lancar, walaupun jalan di Batang Kali, Selangor ditutup susulan kejadian tanah runtuh, awal pagi tadi.

Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad Radzimah Mohd Radzi, setakat ini tiada penutupan jalan dibuat di lebuh raya berkenaan.

"ANIH Berhad selaku pengendali KLK dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) bersimpati dengan komuniti yang terkesan akibat kejadian tersebut, setakat ini lebuh raya KLK tidak terkesan dan keadaan trafik terkawal," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau turut menasihati pengguna untuk merancang perjalanan ketika musim tengkujuh ini dan sentiasa memastikan tahap kesediaan sebelum memulakan perjalanan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik di KLK dan LPT1 melalui laman media sosial ANIH Berhad dan ANIH TV.

Terdahulu, Resorts World Genting menasihatkan pengunjung yang pergi dan balik dari resort itu supaya menggunakan Lebuhraya KLK melalui laluan Genting Sempah susulan insiden tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali.

Ketika ini, operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh pihak berkuasa di tapak perkhemahan berhampiran jalan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highlands.

-- BERNAMA