Keadaan trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari arah utara dan selatan ke ibu negara sehingga jam 4 petang ini semakin sesak ekoran pertambahan jumlah kenderaan di beberapa kawasan.

Keadaan semakin sesak dilaporkan dari Pedas Linggi ke Nilai di Negeri Sembilan, Seberang Jaya sebelum tol Juru ke Bukit Tambun di Pulau Pinang, Taiping ke Kuala Kangsar di Perak dan sebelum Terowong Menora menuju ke Ipoh, menurut jurucakap kawalan Trafik Plus Expressway Berhad.

"Bagaimanapun keadaan trafik di Jambatan Pulau Pinang dilaporkan lancar dan terkawal," katanya.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan aliran trafik dari arah pantai timur menuju ke ibu kota mulai sesak di Plaza Tol Bentong menuju ke Bukit Tinggi di Pahang dan Plaza Tol Gombak.

Katanya ia berikutan peningkatan trafik yang tinggi apabila pengguna lebuh raya mula pulang kembali ke ibu kota selepas menyambut Aidilfitri.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/ plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.