Pembunuhan wartawan kanan, Jamal Khashoggi, di Konsulat Arab Saudi di Istanbul seharusnya diakui lebih awal Arab Saudi bagi mengelakkan persepsi negatif negara luar.

Penganalisis Asia Barat dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Kamaruzaman Yusoff berkata pengakuan yang dibuat kira-kira tiga minggu telah memburukkan keadaan.

"Saya yakin, Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman serta pemimpin Saudi masih rasa selamat dengan apa yang berlaku.

"Ini kerana Amerika Syarikat bersama mereka biarpun terdapat serangan-serangan yang dibuat terutamanya membabitkan Jerman, Perancis dan United Kingdom yang kini mula memberikan tamparan hebat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI secara langsung melalui Buletin AWANI.

BACA: Imej terakhir Jamal Khashoggi disiar

Tambah Kamaruzaman, tragedi ini disifatkan sebagai pembunuhan politik dan membuktikan kegagalan Arab Saudi untuk memberi penjelasan tentang tindakan membunuh Kashogi pada masa ini.

"Saya rasa kalau Saudi mahu selamatkan keadaan, mereka perlu menghantar semua yang didakwa bersalah dalam pembunuhan Khashoggi dihantar ke Turki atau Amerika Syarikat.

"Akan tetapi saya yakin mereka takkan melakukkannya kerana ia akan membuka isu yang lebih besar di peringkat antarabangsa seperti membuka pekung sendiri," katanya lagi.

BACA: Trump kata usaha Arab Saudi 'tutup cerita' Khashoggi amat teruk