NATIONAL
Trak FRU terlibat nahas adalah kenderaan tempur berusia 28 tahun, tiada masalah

Saifuddin memberi kata-kata semangat kepada waris Allahyarham Damarrulan Abdul Latif, di Kuarters Unit 5 FRU Sungai Senam, di sini. - Gambar/ Astro AWANI
IPOH: Trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam nahas di Teluk Intan sehingga meragut nyawa sembilan anggotanya disahkan mempunyai rekod penyelenggaraan yang baik.
Ringkasan AI
- Trak FRU yang terlibat dalam nahas disahkan mempunyai rekod penyelenggaraan yang baik dan masih layak digunakan walaupun telah digunakan sejak tahun 1997.
- Siasatan berhubung punca kejadian masih dijalankan dan terlalu awal untuk membuat kesimpulan sama ada ia berpunca daripada kecuaian manusia atau faktor lain.
- Kementerian Dalam Negeri komited untuk melakukan penambahbaikan terhadap semua aset agensi di bawahnya, termasuk PDRM.
"Walaupun umurnya agak lama, tetapi ia masih roadworthy, tiada masalah dari segi selenggaraan,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi waris Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, salah seorang mangsa korban nahas, di Kuarters Unit 5 FRU Sungai Senam di sini, hari ini.
Beliau berkata, siasatan berhubung punca kejadian masih dijalankan dan terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan sama ada ia berpunca daripada kecuaian manusia atau faktor lain.
“Insiden semalam terlalu awal untuk kita buat keputusan sama ada kemalangan itu disebabkan kesilapan manusia yang membabitkan pemandu lori dan sebagainya, itu biar pasukan yang buat siasatan,” ujarnya.
Saifuddin menjelaskan bahawa pihaknya komited untuk melakukan penambahbaikan terhadap semua aset agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mengenai kemungkinan penggunaan tali pinggang keledar, beliau berkata, pihaknya akan memberikan perhatian dari segala aspek.
“Namun, ini merupakan kenderaan yang diklasifikasikan sebagai ‘combat vehicle’ (kenderaan tempur) yang direka untuk keperluan tertentu dalam operasi.
“Dalam misi tertentu, masa beberapa saat pun sangat penting. Kalau ada peralatan atau sistem keselamatan yang mengambil masa untuk ditanggalkan, ia mungkin menjejaskan kecekapan. Tapi semua ini kita serah kepada pihak pakar untuk menilai,” katanya.
Beliau menambah, ciri-ciri khas kenderaan seperti itu ada kelebihan dan kekurangannya, terutama dari segi kepantasan dan keperluan taktikal ketika bertugas.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami