SANDAKAN: Inisiatif Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA) bukan sekadar penjenamaan semula kempen sedia ada, sebaliknya merupakan transformasi menyeluruh bagi menjadikan pembelian dan penggunaan produk tempatan sebagai agenda nasional.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata inisiatif itu akan digerakkan secara lebih agresif bagi meningkatkan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan tempatan, memperluaskan pasaran serta mengukuhkan sumbangannya kepada ekonomi negara.
Menurut beliau, JOM MALAYSIA ialah transformasi kepada Kempen Beli Barangan Malaysia dan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang dilaksanakan sejak 1984.
Katanya, transformasi itu berpaksikan empat teras utama iaitu gerakan nasional, pendekatan seluruh negara, keterangkuman produk tempatan dan peluasan pasaran.
“Inisiatif ini bukanlah sekadar satu pembaharuan logo ataupun pembaharuan nama, bukan perubahan kosmetik, tetapi perubahan ataupun transformasi yang ingin kita gerakkan bersandarkan kepada empat teras transformasi,” katanya.
Armizan berkata, JOM MALAYSIA bertujuan memupuk semangat patriotisme ekonomi dengan menggalakkan rakyat mengutamakan pembelian dan penggunaan produk tempatan, bukan sahaja melibatkan makanan dan minuman, malah turut merangkumi pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan oleh pengusaha tempatan.
Beliau berkata, kejayaan gerakan tersebut tidak hanya bergantung kepada kementerian dan agensi kerajaan, sebaliknya memerlukan kerjasama sektor swasta, pemain industri, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat.
“Teras kepada gerakan nasional ini adalah patriotisme ekonomi, tetapi golongan sasar kita bukan hanya tertumpu kepada rakyat kita sahaja.
"Pastinya kita mahu rakyat mengutamakan, melalui semangat patriotisme, pembelian dan penggunaan produk tempatan.
"Namun, melalui gerakan ini, kita juga mahu memperluaskan pasaran bukan hanya di peringkat domestik, tetapi juga ke pasaran luar,” katanya.
Festival JOM MALAYSIA yang berlangsung di Kompleks Sukan Sandakan dari 24 hingga 26 Julai menghimpunkan lebih 100 usahawan tempatan, pemain industri dan rakan strategik.
Festival itu menyediakan platform untuk aktiviti promosi, jualan serta jaringan perniagaan, selain menampilkan reruai PMKS, pameran program kerajaan, Program Jualan RAHMAH MADANI serta pelbagai aktiviti hiburan dan sukan rakyat.