ISKANDAR PUTERI: "Ibu masih takut, selepas sebuah lori treler terbabas dan merempuh tembok dan dapur rumah pada petang Jumaat," kata Nurul Hassan, 37.

Menurut Nurul, dia dan ibunya Rusilah Jaafar, 76, bernasib baik kerana ketika kejadian pada jam 5.30 petang itu mereka tiada di rumah kerana ke bazar Ramadan membeli juadah berbuka puasa.

Katanya, motosikal, kereta dan lori yang terbabas kerap merempuh rumahnya yang terletak bersebelahan selekoh jalan Kampung Ulu Pulai yang kini menjadi laluan utama antara daerah Pontian dan Iskandar Puteri.

"Ini bukan kali pertama rumah saya dirempuh kenderaan. Sudah lebih 10 kali selepas tembok penghadang mula dibina pada 2014. Kejadian rempuhan kerap berlaku pada waktu siang terutama membabitkan lori treler.

"Setiap kali insiden rempuhan berlaku, dinding akan retak. Masih banyak kesan retakan dinding di dapur dan bilik. Tidak mampu kami hendak baiki sepenuhnya, apa yang mampu dan perlu sahaja kami buat dahulu," katanya ketika ditemui pada Isnin.

Nurul yang bekerja sebagai peniaga online berkata, setiap kali berlaku insiden rempuhan berlaku, dia sekeluarga kerap dijanjikan bayaran ganti rugi namun tidak pernah memperolehnya.

“Lepas rumah dirempuh, tidak kira kereta atau lori, pemandunya beritahu akan bayar ganti selepas tuntut insurans. Kami pun tunggu, tapi kebanyakkannya tidak ditunaikan dan hilang begitu sahaja.

"Kami sekeluarga sayang rumah ini memandangkan sudah didiami sejak tahun 1992," katanya.

Nurul yang merupakan anak bongsu dari lapan adik beradik berkata, dia kini menjaga ibunya setelah kematian bapanya pada Mac tahun lalu.

Katanya, disebabkan kerap kali berlaku kejadian rempuhan, ibunya trauma dan tidak dapat melelapkan mata pada waktu malam.

Disebabkan itu, dia bersama ibunya akan bermalam di rumah kakaknya, Roslinda Hassan, 51, di kampung yang sama bagi mengelakkan sebarang kemungkinan.

"Saya agak kesal dengan sikap pemandu yang cuai sehingga membahayakan keselamatan walaupun papan tanda amaran kemalangan telah dipasang pihak berwajib.

"Malah tembok penghadang yang dibina juga turut dilanggar. Sepatutnya pengguna jalan mematuhi had laju memandangkan kawasan di sini merupakan kawasan kampung dan bukannya memandu laju seperti di lebuh raya," katanya. - Sinar Harian