Pada pameran auto Worthersee yang telah berlangsung pada 13 hingga 16 Mei yang lalu di Reifnitz, Austria, Audi telah memperkenalkan teknologi konsep terbaharu mereka iaitu sistem Electric Biturbo. Teknologi turbo berkembar elektrik ini telah diperkenalkan pada model terbaharu Audi TT Clubsport Turbo.

“Teknologi ini sudah hampir sedia untuk pengeluaran”, Kata Prof. Dr. Ulrich Hackenberg, Ketua Unit Pembangunan Audi. Beliau turut menyatakan bahawa teknologi turbo berkembar elektrik ini akan memberikan pecutan dan kuasa tork yang tinggi dan Audi adalah syarikat pengeluar kereta pertama di dunia yang menggunakan teknologi ini.

Enjin:
Audi TT Clubsport Turbo ini dikuasakan oleh enjin 2.5 TFSI 5-silinder bersesaran 2,480CC yang menghasilkan kuasa yang sangat mengkagumkan iaitu 600hp dan tork setinggi 650Nm antara 3000rpm sehingga 7000rpm. Kuasa enjin ini disambungkan kepada kotak gear manual enam kelajuan dan sistem pacuan empat roda quattro. Dengan kuasa seperti ini, kereta ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 3.6 saat dan kelajuan maksimum adalah 310km/j.


Kuasa tujahan elektrik:
Penggunaan pemampat (compressor) berkuasa elektrik memberikan kelebihan yang sangat ketara dimana RPM maksimum dapat dicapai tanpa sebarang kelewatan dari sistem turbo. Pemampat ini akan terus membekalkan tekanan kepada sistem turbo walaupun tekanan daripada sistem ekzos semakin berkurangan. Prinsip operasi rekaan daripada Audi ini membolehkan sistem pengecas turbo biasa dipertingkatkan keupayaannya supaya dapat menghasilkan kuasa enjin yang tinggi. Sistem e-turbo ini mempastikan tindak balas yang pantas dan kuasa pecutan yang tinggi pada kelajuan enjin yang rendah pada setiap masa.


Simpanan kuasa:
Satu sub-sistem berkuasa 48-volt unik rekaan Audi disambungkan kepada sistem pengecas turo bagi menjana tekanan udara. Pada kelajuan enjin yang rendah, pemampat berkuasa elektrik ini mampu menghasilkan sehingga 200Nm tork. Satu unit simpanan kuasa bateri Lithium Ion yang kompak diletakkan di dalam ruang bagasi bagi menjana sistem turbo dan pemulihan kuasa berlaku semasa kereta sedang bergerak. Satu unit pengubah kuasa AC/DC 12 Volt turut disambungkan kepada sistem elektrik kereta.


Lebar bertambah 14sm:
Kereta sport kompak ini mendapat tambahan aksesori yang sangat menarik. Lebar bukaan tayar kereta ini bertambah kepada 1,736 mm di bahagian hadapan dan 1729 mm di bahagian belakang. Panjang keseluruhan kereta ini adalah 4.33 meter dan tingginya pula adalah 1.97 meter.

(Klik untuk galeri penuh)

Rekaan luarannya diinspirasikan daripada model Audi 90 IMSA GTO dari lewat 1980-an. Pereka bagi kereta ini telah mereka bentuk dapra (fender) yang bersudut dan bersegi. Ia bukan sahaja menambah kepada keunikan rekaan kereta ini, malah turut mempunyai fungsi bagi membantu proses penyejukan sistem brek.

Kemasan dalaman:
Satu ‘sangkar’ pelindung yang diperbuat daripada tiub titanium berkekuatan tinggi di bahagian belakang kabin kereta menjadikan ruang dalaman kereta ini lebih kukuh dan selamat. Di bahagian hadapan pula, tempat duduk bucket dengan abah-abah (harness) empat point disediakan bagi menambahkan rasa sporty kereta ini. Sistem paparan dan kawalan kereta ini memfokuskan kawalan oleh pemandu dimana pemandu boleh mengawal kesemua fungsi pemanduan melalui empat butang kawalan yang terdapat pada stereng.

(Klik untuk galeri penuh)


Nota: Ini bukan kali pertama sebuah TT Clubsport diperkenalkan. Pada tahun 2008, Audi telah mempertontonkan konsep TT Clubsport quattro (tanpa bumbung. Gambar di bawah), juga di Worthersee. Ia diasaskan Audi TT Roadster di mana bumbung fabrik kereta tersebut telah di buang. Output tidak terlalu tinggi berbanding TT Roadster terbaharu ini; enjin 2.0 liter TFSI waktu itu diberikan sedikit talaan untuk menghasilkan sehingga 296hp, jauh daripada 600hp daripada penggunaan biturbo elektrik sekarang.

TT Roadster daripada model TT generasi kedua ini hanya kekal sebagai sebuah konsep; tetapi harapnya TT Roadster baharu ini menjadi kenyataan.