KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Yamtuan Raden di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi kedua-dua anakanda, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin serta Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al-’Abidin.
Solat Jumaat berkenaan yang dihadiri lebih 1,000 jemaah itu diimamkan oleh Imam Muhammad Afiq Kamaluddin.
Terdahulu, Muhammad Afiq menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk "Jangan khianati kedaulatan negara".
Selesai menunaikan solat Jumaat, Tuanku Muhriz dan kedua-dua anakanda berkenan beramah mesra dengan jemaah sambil memberi sumbangan kepada kanak-kanak yang hadir.
-- BERNAMA