KUALA LUMPUR :Tiga bayi dari Sabah yang perlu menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) diterbangkan menerusi penerbangan ihsan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Jumaat.

Alvanneo Franruvis berusia 17 hari mengalami masalah saluran darah pada jantung, manakala Oddey Chin Kian Sin berusia 18 hari dan bayi Mohamad Afif Hakim Afifi Wahyudi berusia 21 hari mengalami masalah jantung berlubang. Mereka sebelum ini dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak TUDM, pesawat angkut A400M dari No. 22 Skuadron, Pangkalan Udara Subang berlepas dari Kota Kinabalu pada jam 1.09 petang dan selamat tiba di Pangkalan Udara Subang pada jam 6.10 petang

Kesemua bayi berkenaan ditemani pegawai perubatan, Dr Tan Wei Wern; seorang paramedik, Dr Dominica Hiew Hui Wen dan ibu kepada bayi masing-masing.

Kesemua bayi berkenaan kemudiannya terus ke IJN untuk menerima rawatan selanjutnya oleh pasukan petugas yang telah sedia menunggu ketibaan pesakit.

Khidmat Penerbangan Ihsan TUDM bagi membawa pesakit sering digunakan apabila membabitkan situasi dan keperluan yang mendesak.