TAWAU: Enam anggota polis dan seorang orang awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemandu e-hailing awal tahun ini.

Sementara itu bekas Ketua Staf Perisikan Esscom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) SAC Datuk Mat Zaki Md Zain mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama hari ini terhadap dua pertuduhan bersubahat membunuh pemandu e-haling itu awal tahun ini.

Pertuduhan terhadap Mat Zaki, 58, dan enam anggota polis Rosdi Rastam, 44, Denis Anit, 44, Fabian Rungam, 43, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 39, dan John Kennedy Sanggah, 44, serta orang awam Vivien Fabian, 34, dibacakan di hadapan Hakim Dr Lim Hock Leng.

Rosdi, Denis, Fabian, Khairul Azman, Mohd Azlan dan Vivien didakwa secara bersama-sama membunuh Nurman Bakaratu, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Baru 5, Tawau antara 7.30 malam hingga 11.30 malam pada 13 Jan lepas.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sementara John Kennedy didakwa membunuh Nurman bersama lima anggota polis dan seorang orang awam terbabit di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Mat Zaki pula menghadapi dua pertuduhan iaitu bersubahat membunuh Nurman bersama enam tertuduh itu dan satu lagi bersama John Kennedy mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.

Mahkamah menetapkan 2 Jan hingga April tahun depan untuk perbicaraan kes ini.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Datuk Manoj Kurup dibantu Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad, Khairul Azreem Mamat serta Low Qin Hui.

Mat Zaki, Khairul Azman, Mohd Azlan, Vivien dan John Kennedy diwakili peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Chen Wen Jye, Timothy Dave dan Kimberly Ye.

Rosdi diwakili peguam Datuk Ansari Abdullah, Abdul Gani Zelika dan Erveana Ansari Ali; Dennis diwakili peguam Hairul Vaiyron Othman dan Luke Ressa Balang manakala Fabian diwakili peguam Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon, Zahbia Ophent dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.

Pihak pendakwaan dijadual memanggil 25 hingga 30 saksi termasuk beberapa pakar untuk memberi keterangan manakala pihak pembelaan dijangka memanggil 32 saksi.

Pada 8 Feb lepas, Rosdi, Denis, Fabian, Khairul Azman, Mohd Azlan serta Vivien, didakwa di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan membunuh Nurman, manakala Mat Zaki didakwa bersubahat dengan enam tertuduh itu membunuh lelaki itu.

John Kennedy pula, pada awalnya merupakan saksi kes pendakwaan, namun pada 11 April lepas lelaki itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini bagi pertuduhan membunuh.

Pada 7 Julai lepas, Mat Zaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini kerana bersubahat dengan John Kennedy untuk membunuh Nurman.

-- BERNAMA