Tujuh individu termasuk tiga beranak mengaku tidak bersalah kurung tiga lelaki di Pasir Puteh

Tujuh individu termasuk tiga beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas pertuduhan mengurung tiga lelaki di Pasir Puteh pada September lepas. - Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Tujuh individu termasuk tiga beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengurung tiga lelaki di Pasir Puteh pada September lepas.
Hazafee Mohamed, 37; Mohd Hasrun Mohd Yusof, 37; Mohd Fairuz Mahasan, 41; Muhammad Najmuddin Ahmad Zamri, 21; Norhazri Muhammad Nor, 45, serta dua anaknya, Muhammad Danish Syahmi, 22, dan Muhammad Darwish Syahmi, 20, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid.
Kesemua mereka didakwa secara bersama mengurung tiga lelaki berusia 23 hingga 30 tahun di sebuah rumah di Jalan Pantai Bisikan Bayu, Cherang Ruku, Pasir Puteh, pada kira-kira 4 pagi, 25 Sept lepas.
Seorang lagi tertuduh, Yang Marliziana Mohd Ramli, 37, pula didakwa bersubahat dalam pengurungan itu serta menyimpan rahsia berkaitan kesalahan berkenaan yang dilakukan di Perhentian Bas, Pasar Peringat di sini, kira-kira 4 petang hari sama.Tujuh tertuduh didakwa mengikut Seksyen 347 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama manakala Marliziana didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nursyafiqah Mohamad manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohammad.
Majistret Amirul Asyraf memutuskan empat tertuduh iaitu Norhazri, Hazafee, Mohd Hasrun dan Mohd Fairuz tidak dibenarkan ikat jamin.
Bagaimanapun, Muhammad Najmuddin, Muhammad Danish Syahmi serta Muhammad Darwish Syahmi dibenarkan ikat jamin RM5,000 dan Marliziana sebanyak RM4,000, masing-masing dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 30 Nov depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Sementara itu di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, empat tertuduh iaitu Norhazri, Hazafee, Mohd Hasrun dan Mohd Fairuz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata ke atas tiga mangsa berkenaan dan mohon dibicarakan dihadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 40 tahun dan sebatan minimum enam kali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan manakala peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohammad mewakili tertuduh.
Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin bagi kesemua tertuduh dan menetapkan 9 Nov ini untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami