Seorang tukang rumah maut apabila motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang bertembung dengan sebuah kereta Perodua Kenari.

Kemalangan berlaku di KM96.8 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Rumbia Resort Villa, Bandar Paka kira-kira jam 12.25 tengah malam tadi.

Mangsa, M. Bardi, 32 tahun dari Mandala, Jawa Timur, Indonesia, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketika kejadian, mangsa yang dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Kampung Tebing Tembah, dikatakan menunggang motosikal secara melawan arus untuk membuat pusingan-U.

Bagaimanapun, Perodua Kenari yang dipandu Nor Hafizah Ahmad, 24, yang dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Kampung Limbong, gagal mengelak lalu merempuh mangsa.

Mangsa tercampak ke tengah jalan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Paka.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Kes disiasat dibawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.