Tun Faisal Ismail dan Prof Datuk Dr Mohd Zainul Fitri Othman disahkan tidak layak bertanding bagi jawatan Majlis Tertinggi UMNO kerana tidak memenuhi syarat minimum pertandingan bagi jawatan itu, kata Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata kedua-dua anggota hilang kelayakan kerana tidak pernah menjadi anggota jawatankuasa (AJK) Bahagian yang merupakan syarat kelayakan minimum bertanding jawatan MT.

"Syarat yang ditetapkan untuk bertanding jawatan MT ialah pernah menjadi AJK Bahagian sekurang-kurangnya sepenggal atau pernah menjadi anggota MT sekali (sepenggal)...sekurang-kurangnya sekali.

"Tetapi kedua-dua Tun Faisal dan Dr Zainul tidak ada dalam kedua-duanya," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Pada Rabu, UMNO mengedarkan senarai nama calon MT yang disahkan bertanding, pada pemilihan Oktober ini yang mengandungi nombor calon 1 sehingga 64.

Namun, nama mereka tidak tersenarai, dengan nombor 11 dan 60 dibiarkan kosong dalam senarai itu.

Tun Faisal, yang merupakan Exco Pergerakan Pemuda pusat, dan dilaporkan menjadi antara calon yang mendapat 'endorsement' pergerakan itu untuk bertanding jawatan MT manakala Dr Mohd Zainul Pengerusi Tetap UMNO cawangan Gombak Setia.

Menjelas lanjut, Ab Rauf berkata terpulang kepada mereka untuk membuat rayuan berhubung keputusan Jawatankuasa Pemilihan, dan keputusan menerima rayuan itu atau sebaliknya terserah kepada pihak pengurusan atau MT.

Dalam pada itu, mengulas pengguguran nama beliau, Dr Mohd Zainul berharap Jawatankuasa Pemilihan akan mempertimbang semula pencalonan mereka.

Beliau juga menyifatkan kegagalan untuk memenuhi syarat minimum pertandingan berlaku atas faktor terma 'AJK Bahagian' yang tidak jelas sehingga menimbulkan intrepretasi berbeza di kalangan anggota parti.

"Terma AJK Bahagian itu tidak jelas pengertiannya... sepatutnya terma itu perlu diperjelas lebih awal, iaitu merujuk kepada AJK Bahagian induk dan bukannya AJK sayap," kata Dr Zainul, pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi swasta.