KUALA LUMPUR: Perdana Menteri ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn sangat mengambil berat aspek pemeliharaan alam sekitar, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Berkongsi kisah mengenai datuknya, Onn Hafiz berkata, Allahyarham berpendapat manusia adalah penjaga bumi justeru adalah menjadi tanggungjawab setiap individu untuk memastikan flora dan fauna sentiasa dilindungi.

“Saya percaya sekiranya Tun berada di sini, hari ini bersama kita, beliau akan menggesa kita untuk menjaga alam sekitar. Bukan untuk keuntungan tetapi untuk kepentingan alam sekitar itu sendiri.

“Kita adalah penjaga yang bertanggungjawab untuk melindungi flora dan fauna yang kita lihat hari ini. Seperti yang disebutkan, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

“Kita mesti memastikan bahawa tangan kita bukanlah tangan yang menyebabkan kematian mana-mana harimau, atau flora dan fauna lain.

“Tidakkah kita sedar bahawa nama kita, warisan kita seolah-olah berkait rapat dengan cara kita berinteraksi dengan dunia di sekeliling kita? Ayuh kita pelihara alam semula jadi agar kita mempunyai masa depan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis anjuran Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa Malaysia (ISIS Malaysia) yang turut menjemput Pemegang Kelima Kursi Tun Hussein Onn ISIS Malaysia, Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid.

Onn Hafiz diberi penghormatan untuk berucap dalam majlis itu sebagai wakil keluarga Tun Hussein dalam program pada Khamis yang mana Zakri memberi syarahan bertajuk The Politics Of Biodiversity Loss: International Responses & Malaysia.

Dalam syarahan hampir sejam itu, Zakri menyentuh pelbagai isu berkaitan alam sekitar membabitkan Malaysia dan negara jiran.

Antara isu disuarakan ialah berkaitan menyelamatkan harimau Malaya daripada pupus dengan beliau mengambil contoh India sebagai negara yang boleh dijadikan panduan bagi Malaysia untuk memulihara spesies itu yang diancam kepupusan.