Usaha Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melucutkan kelayakan peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai timbalan pendakwa raya (DPP) dalam kes liwatnya hanyalah untuk melewat-lewatkan perbicaraan tersebut.

Ini adalah pendapat mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata Anwar sebenarnya takut untuk dibicarakan.

"Ini cuma usaha untuk melewat-lewatkan perbicaraan. Dia (Anwar) takut untuk dibicarakan kerana dia buat salah.

"Jadi dia takut mahkamah akan jatuhkan hukuman ke atasnya. Tetapi memanglah dia takut pada Shafee.

"Shafee dah menang banyak kes-kes rumit. Saya fikir Anwar pun gentar jugalah," katanya semasa suatu sidang media selepas melancarkan Seminar dan Forum Buku Perdana di sini hari ini.

Mahathir berkata demikian semasa mengulas tentang keputusan Mahkamah Persekutuan pada 11 Februari lalu, yang menolak permohonan Anwar untuk mengenepikan Shafee.

Ini adalah usaha kedua Anwar untuk megenepikan Shafee.

Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Besar Malaya, Zulkefli Ahmad Makinudin yang mengetuai lima panel hakim ketika bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Richard Malanjum, Suriyadi bin Halim Omar, Zaleha Zahari dan Jeffrey Tan Kok Wha.

Pada 21 November 2013, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Md Raus Sharif menolak permohonan Anwar untuk menghilangkan kelayakan Shafee sebagai pendakwa dalam kes itu.

Pasukan Anwar berhujah, ketua umum PKR itu tidak akan mendapat perbicaraan adil ekoran reputasi Shafee sebagai peguam kepada tokoh-tokoh penting Barisan Nasional.