Tindakan segera kerajaan dalam membanteras rasuah amat penting dalam usaha untuk untuk rakyat melihat ada kesungguhan menangani masalah tersebut, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika mengulas laporan indeks persepsi rasuah dunia yang bakal keluar esok, Dr Mahathir menegaskan buat masa ini pelaksanaan undang-undang berkaitan perkara tersebut mengambil masa yang lama dan kurang licin, tidak seperti ketika zaman pemerintahan.

"Ia (rasuah) banyak bergantung pada undang-undang dan hukuman.

"Salah satu perkara yang paling penting untuk membanteras korupsi ialah untuk mempercepatkan proses siasatan," kata beliau pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Beliau juga mengakui politik wang dalam UMNO masih berkembang terutama ketika pemilihan parti itu baru-baru ini.

Katanya biarpun corak pemilihan UMNO telah berubah namun, gejala politik wang dilihat masih tidak dapat diatasi sepenuhnya.

"Saya ada idea dan akan cari platform untuk jelaskan idea tersebut, idea untuk bendung korupsi dalam Umno dan negara," kata beliau.

Bekas Presiden UMNO itu turut memuji langkah melantik beberapa tokoh di luar parti untuk menganggotai Majlis Tertinggi (MT) dan menyifatkan ia satu pembaharuan inklusif demi kebaikan parti.

Katanya pelantikan mereka yang bukan anggota UMNO merupakan satu langkah baik untuk membawa perubahan dalam parti.

"Banyak peningkatan yang dibuat oleh Umno (sekarang) dan ia berbeza dari sebelum dan selepas pilihan raya umum ke-13.

"Mereka(Umno) membawa masuk beberapa personaliti yang bukan anggota Umno untuk menganggotai Majlis Tertinggi. Itu langkah yang sangat baik," katanya.

Pada Jumaat UMNO mengumumkan pelantikan sembilan anggota MT, antaranya pendakwah terkenal Ustaz Mohammad Kazim Elias dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Mengulas mengenai cadangan muzakarah antara PAS dan UMNO, Dr Mahathir berkata itu merupakan pendekatan yang baik dalam mencari persefahaman antara dua parti orang Melayu tersebut.

"PAS dan UMNO tidak berbeza. Sebelum ini mereka yang mengasaskan PAS ialah anggota UMNO," katanya.

Mengakui bahawa PAS dan UMNO kini mempunyai pandangan berbeza dalam hal-hal tertentu, Dr Mahathir percaya perkara itu masih boleh diselesaikan sekiranya kedua-dua parti mendahulukan kepentingan rakyat dan negara.