Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak termasuk dalam senarai sokongan majoriti seperti yang didakwanya.

Bagaimanapun, Anwar berkata penyertaan Dr Mahathir bersama parti baharunya, Parti Pejuang Tanah Airku (Pejuang) akan ditentukan kemudian.

“Dia (Dr Mahathir) tiada dalam senarai sokongan majoriti.

“Dia mungkin akan membuat keputusan kemudian.

“Buat masa ini, dia tidak termasuk,” katanya pada sidang media tergempar sebuah hotel di ibu kota pada Rabu.

Terdahulu, beliau mendakwa mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat.




Katanya, sokongan yang diperoleh itu terdiri daripada pelbagai parti, namun tidak mendedahkan sebarang perincian lanjut.

Tegas Anwar, beliau telah mendapat perkenan menghadap Al-Sultan Abdullah pada Selasa jam 11 pagi, namun terpaksa ditangguh susulan baginda sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).