Banjir besar yang melanda negeri-negeri di pantai timur menyebabkan ubat-ubatan bernilai RM1.8 juta rosak hingga memaksa Kementerian Kesihatan melupuskannya pada 2014.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan terpaksa melupuskan pelbagai jenis ubat yang dibekalkan ke hospital dan kinik kerajaan di Kelantan, Terengganu dan Pahang setelah ia didapati rosak.

"Selain banjir, ada ubat yang rosak setelah tamat tempoh terutamanya ubat yang hanya digunakan untuk kes tertentu dan ubat bagi kes kecemasan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar berhubung Kaji Selidik Kebangsaan Mengenai Ubat-ubatan 2015 yang menyatakan berlakunya pembaziran ubat-ubatan bernilai puluhan juta ringgit di negara ini setiap tahun.

Kaji selidik itu mendapati pembaziran ubat berpunca daripada kegagalan pesakit mematuhi arahan pengambilan ubat, sengaja menukar jenis ubat, berhenti mengambil ubat dan menerima ubatan daripada klinik lain sehingga menyebabkan lambakan bekalan ubat di rumah.

Mengenai pelupusan ubat yang tamat tempoh, Dr Noor Hisham berkata ubat terbabit adalah ubat yang sering digunakan untuk kes kecemasan seperti kes keracunan dan dipatuk ular.

"Ubat sebegini hanya akan digunakan sekiranya terdapat kes kecemasan sahaja. Walaupun jarang digunakan namun, bekalan ubatan ini perlu ada setiap masa," katanya.

Mengenai Program Pemulangan Ubat (PPU), beliau berkata kotak pemulangan ubat ditempatkan di kaunter farmasi semua hospital-hospital kerajaan sejak 2010 bagi memudahkan pesakit memulangkan ubat-ubatan yang tidak digunakan lagi untuk dilupuskan dengan kaedah selamat.

Menurutnya amalan itu turut dilaksanakan di beberapa negara seperti Singapura, Australia dan United Kingdom sebagai usaha melupuskan ubat-ubatan tanpa menjejaskan alam sekitar.

Selain itu, katanya Kementerian Kesihatan menangani masalah pembaziran ubat dengan membekalkan ubat secara bulanan kepada pesakit, menasihati mereka supaya memaklumkan kepada doktor sekiranya masih mempunyai bekalan ubat dan mengadakan program Kenali Ubat Anda. - BERNAMA