PADANG BESAR: Pesakit di seluruh negara tidak perlu lagi membayar kos penghantaran Ubat Melalui Pos (UMP) berikutan perkhidmatan itu akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan bermula 1 Oktober ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, inisiatif tersebut yang dibiayai menerusi dana RM5 juta oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), merupakan sebahagian daripada usaha pemerkasaan sistem kesihatan digital negara.
Menurutnya, langkah itu juga seiring dengan kejayaan pelaksanaan inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) yang telah memendekkan tempoh menunggu pesakit secara drastik.
"Di Perlis yang menjadi projek rintis sejak empat bulan lalu, program ini telah memanfaatkan lebih 200,000 pesakit. Kita dapat lihat lebih 86 peratus pesakit dapat bertemu doktor dalam tempoh kurang 60 minit, manakala 62.8 peratus lagi dalam tempoh kurang 30 minit.
"Ini satu peningkatan yang sangat baik berbanding di peringkat kebangsaan berikutan penggunaan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) secara berpusat menggunakan sistem awan (cloud-based) yang diuruskan oleh Telekom Malaysia," katanya selepas meninjau pelaksanaan inisiatif PERSADA di Klinik Kesihatan Padang Besar, pada Sabtu.
Jelas Fahmi, penyepaduan data itu membolehkan rekod pesakit diakses dengan pantas oleh doktor tanpa perlu pesakit mengisi borang berulang kali apabila beralih ke fasiliti kesihatan lain.
Bagi memperluaskan akses kesihatan, beliau memaklumkan sebanyak 17 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Perlis kini turut diintegrasikan dengan perkhidmatan tele-kesihatan.
"Ada beberapa perkara yang penduduk boleh lakukan di NADI seperti saringan rutin tanpa perlu pergi ke klinik kesihatan. Kerjasama erat antara NADI dan klinik ini akan diperluaskan ke seluruh negara kelak," tambah beliau.
Malah, Fahmi mendedahkan kerajaan kini sedang menjalankan kajian berhubung penghantaran ubat menggunakan dron bagi kawasan luar bandar, khususnya yang telah mula diteliti di Sabah sebelum ini.
Bagi memastikan kelancaran semua proses pendigitalan ini, kerajaan pada Ogos lalu telah menaikkan peruntukan daripada RM650 juta kepada RM1 bilion untuk menaik taraf peranti perubatan dan kelajuan internet sekurang-kurangnya 100Mbps di rangkaian kesihatan awam negara.