CYBERJAYA: Agensi Nuklear Malaysia berjaya menghasilkan beberapa potensi baka baharu ubi kayu menerusi aplikasi teknologi nuklear yang mampu dituai dalam tempoh enam bulan, hampir separuh daripada tempoh 11 hingga 12 bulan bagi varieti tempatan.
Pegawai Penyelidik Bahagian Agroteknologi dan Biosains Agensi Nuklear Malaysia Norazlina Noordin berkata baka baharu hasil penyelidikan sejak 2021 itu mencatatkan hasil yang tinggi berbanding bahan tanaman kawalan dan dijangka berpotensi dikomersialkan dalam tempoh sekurang kurangnya dua tahun akan datang.
Beliau berkata penyelidikan selama lima hingga enam tahun itu bermula dengan matlamat menghasilkan baka ubi kayu baharu yang mempunyai tempoh matang lebih singkat tanpa menjejaskan hasil.
“Masalah bagi varieti ubi kayu tempatan ialah ia mengambil masa lama untuk dituai, selalunya dalam 11 hingga 12 bulan. Jadi objektif kajian kami adalah untuk mengurangkan tempoh penuaian.
“Alhamdulillah, selepas lima hingga enam tahun penyelidikan, kami memperoleh beberapa potensi baka baharu yang dapat mengurangkan tempoh tuaian kepada enam bulan dan pada masa sama tidak menjejaskan hasil. Hasilnya tinggi berbanding varieti asal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Advokasi Nuklear: Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R)@Wanita di sini hari ini.
Norazlina berkata tempoh penuaian yang hampir separuh lebih singkat itu berpotensi membolehkan petani menanam ubi kayu dengan lebih kerap, sekali gus meningkatkan pulangan ekonomi daripada tanaman berkenaan.
Beliau berkata projek itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pertanian Malaysia dan mendapat sokongan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), termasuk geran penyelidikan kira-kira RM100,000 bagi tempoh lima tahun.
Katanya, Jabatan Pertanian turut menyediakan sokongan termasuk menyediakan kawasan penanaman bagi proses penyaringan bahan tanaman selepas melalui aplikasi teknologi nuklear.
Menjelaskan proses berkenaan, Norazlina berkata keratan batang ubi kayu terlebih dahulu didedahkan kepada sinaran gama sebelum ditanam dan disaring bagi mengenal pasti perubahan yang menghasilkan ciri dikehendaki.
Katanya, proses itu tidak menyebabkan bahan tanaman mempunyai sisa radioaktif kerana sinaran gamma hanya melalui bahan berkenaan, sama seperti konsep pendedahan ketika pemeriksaan sinar-X.
“Don't worry, it's safe because it's just a pass-through. Macam kita X-ray pun pass-through. So there is no residue,” katanya.
Norazlina berkata selepas proses penyinaran, setiap keratan perlu ditanam dan diperhatikan dari satu generasi ke generasi seterusnya bagi mendapatkan ciri yang dikehendaki seperti matang awal dan hasil tinggi serta memastikan ciri berkenaan stabil.
Selain itu, teknologi sama juga boleh dimanfaatkan bagi menghasilkan baka tanaman yang lebih tahan kepada serangan penyakit, serangan perosak serta perubahan cuaca.
Beliau berkata proses penyaringan merupakan antara cabaran terbesar dalam penyelidikan berkenaan kerana perubahan genetik berlaku secara rawak, menyebabkan penyelidik perlu menilai tanaman dalam kuantiti yang besar dan tempoh yang panjang.
“Bagi tanaman vegetatif, paling kurang kira-kira 1,000 pokok perlu kita saring. Kita perlu melihat dari satu generasi ke satu generasi sehingga mendapat kestabilan. Kalau ia tidak stabil, ciri itu boleh kembali kepada keadaan asal. Sebab itu ia mengambil masa bertahun-tahun,” katanya.
Menurutnya, pembangunan tanaman seumpama itu lazimnya mengambil masa sekurang-kurangnya enam hingga tujuh tahun sebelum penyelidik mempunyai keyakinan terhadap kestabilan varieti baharu.
Pada masa sama, beliau berkata penyelidikan sedang dijalankan terhadap beberapa tanaman lain termasuk pisang, keledek dan keladi, dengan tumpuan antaranya menghasilkan baka yang mempunyai hasil lebih tinggi serta tahan penyakit, perosak dan perubahan cuaca.
Selain itu, Norazlina berkata penyelidikan turut melibatkan kenaf bagi kegunaan industri seperti penghasilan papan gentian berasaskan biojisim serta tanaman napier untuk makanan haiwan ternakan.
Beliau berkata aplikasi teknologi nuklear dalam pertanian bukan sekadar bertujuan meningkatkan produktiviti, malah mempunyai peranan dalam memperkukuh keterjaminan serta keselamatan makanan negara.
-- BERNAMA