KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob mengesahkan beliau tidak sakit sebaliknya hanya sebak apabila menyentuh tentang kesusahan rakyat di kawasan Parlimennya ketika membahaskan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.

Menceritakan situasi itu, beliau berkata tidak dapat meneruskan perbahasannya kerana terkesan mengenangkan rakyat Gerik yang mengalami kemiskinan dan ketinggalan sedangkan kawasan itu kaya dengan hasil bumi.

"Saya cuma teringat orang susah yang saya jumpa... mereka kalau susah itu susah betul. Saya tiada sakit apa. Jangan risau doktor pun kata saya sihat, muda lagi dan masih boleh minum teh tarik," katanya berseloroh pada sidang media di Lobi Bangunan Parlimen hari ini.

Semalam, sidang Dewan Rakyat sedikit 'cemas' apabila Fathul Huzir kelihatan tidak selesa dan percakapannya tersekat-sekat ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Situasi itu menyebabkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Nor beberapa kali bertanyakan keadaan kesihatan Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) itu sama ada beliau boleh meneruskan perbahasan sebelum mengarahkannya untuk berehat dan mendapatkan bantuan perubatan.

Mengulas lanjut, Fathul Huzir berkata ketika berbahas semalam, beliau sebenarnya mahu mengutarakan agar hak rakyat di luar bandar yang mempunyai hasil bumi dan menyumbang kepada pendapatan negara seperti Gerik dipertahan dan dikembalikan.

Beliau yang mengibaratkan rakyat Gerik sebagai 'hidup dalam gudang beras, tetapi mati kelaparan' itu mencadangkan agar Kementerian Kewangan menubuhkan satu perbadanan serta yayasan untuk meneliti projek-projek kemajuan di Hulu Perak dengan melibatkan rakyat setempat.

Menurutnya, penubuhan perbadanan dan yayasan itu bagi memastikan rakyat di Hulu Perak dapat meraih pulangan serta hak mereka daripada pelbagai hasil bumi seperti emas, bijih timah, balak dan nadir bumi yang diterokai di kawasan itu. (eng: rare earth elements)

"Saya bukan cakap Gerik ini miskin, ada tempat yang lagi teruk daripada itu. Kami cuma nak katakan Gerik ini kaya dengan hasil bumi, tetapi kami (rakyat) hidup susah.

"Tiap hari lori balak lalu depan muka tetapi pembangunan kami ditinggalkan. Kami menyumbang kepada hasil negara, jadi tidak salah rasanya kerajaan utamakan daerah-dearah macam kami ini," katanya.

Fathul Huzir turut menyeru agar pintu masuk antarabangsa di Pengkalan Hulu, Perak dinaik taraf bagi membangunkan ekonomi penduduk dan industri pelancongan setempat.

-- BERNAMA