TUMPAT: Seorang bekas anggota polis didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengugut untuk membunuh isterinya dalam kejadian di Wakaf Bharu, minggu lepas.
Muhd Sirrul Akmal Rasali, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara sembilan bulan, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Muhd Sirrul didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya berusia 42 tahun, dengan mengugut membunuh sehingga menyebabkan mangsa gerun atau ketakutan di sebuah rumah di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu di sini, lebih kurang 9 pagi, 8 Ogos.
Pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) Inspektor Megat Asyraf Megat Ishak, memohon hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Afiqah Amran yang mewakili Muhd Sirrul, memohon hukuman minimum atas alasan anak guamnya kini hanya bekerja sebagai buruh, selain sedang mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
-- BERNAMA