SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan terus memberikan perhatian dan bantuan kepada keluarga Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal yang meninggal dunia selepas rebah semasa acara lasak Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 di Pahang pada Sabtu lepas.
Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin memberi jaminan itu semasa menziarahi keluarga Allahyarham di Taman Bukit Subang, di sini semalam selain turut menyampaikan sumbangan kepada bapanya Mohd Fellimal Mohd Sulanah.
“Seluruh warga UiTM berkongsi kesedihan dengan keluarga Allahyarham. Kehilangan seorang mahasiswa menjadi kehilangan kepada keluarga besar UiTM. Kami mendoakan agar keluarga Allahyarham diberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Shahrin berkata pihak universiti akan terus memantau rapi keadaan penuntut yang masih menerima rawatan dan memastikan kebajikan mereka serta keluarga diberikan perhatian sewajarnya.
Beliau juga menyeru warga universiti itu untuk mendoakan semua penuntut terlibat diberikan kesembuhan dan dipermudah segala urusan mereka.
Berdasarkan laporan terkini diterima universiti, Liya Zafirah Muhammad daripada UiTM cawangan Perak yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, Pahang berada dalam keadaan stabil dan akan dipindahkan ke wad biasa.
Sementara itu, empat penuntut masih menerima rawatan di Hospital Jengka manakala tiga lagi telah dibenarkan keluar dari hospital.
“Keutamaan UiTM ketika ini ialah kebajikan penuntut dan keluarga mereka. Universiti akan terus bersama dengan mereka serta memastikan bantuan dan sokongan sewajarnya dapat disalurkan,” katanya.
Sebelum ini, Fadhlan Fakhry Solana daripada UiTM Negeri Sembilan Kampus Seremban dilaporkan rebah semasa menyertai acara itu pada Jumaat lepas dan disahkan meninggal dunia pada kira-kira 2 petang Sabtu di HoSHAS.
Lapan lagi penuntut dilaporkan menerima rawatan serta pemantauan perubatan berikutan insiden berkaitan haba ketika menyertai acara jalan lasak dalam program yang berlangsung di UiTM Kampus Jengka, Pahang.
-- BERNAMA