NATIONAL
'Umat Islam tidak aniaya sesama sendiri dengan tawaran pakej haji palsu' - Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin semasa Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji Musim 1446H/2025M di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. - Astro AWANI
SHAH ALAM: Umat Islam diingatkan agar tidak menganiaya sesama sendiri dengan mengambil kesempatan menawarkan pakej haji palsu untuk mengaut keuntungan.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar mana mana individu yang ingin mengerjakan ibadah haji supaya berhati-hati dan tidak menggunakan agensi yang tidak diketahui latar belakangnya sehingga terpedaya.
“Ingatlah agama Islam melarang umatnya menipu dan Allah SWT akan membalas segala dosa-dosa mereka yang memperdaya orang lain.
"Beta berharap pada masa akan datang tiada lagi kes jemaah haji yang ditipu oleh agen-agen yang tidak bertauliah.“Diharap pihak kerajaan memandang serius mengenai perkara ini,” titah baginda.
Baginda berkata demikian ketika menyampaikan titah semasa Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji Musim 1446H/2025M di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Sultan Sharafuddin turut berharap kesemua para jemaah mengekalkan disiplin diri semasa berada di Tanah Suci nanti dan menjaga nama baik negeri Selangor dan Malaysia.
“Tumpukan perhatian kepada ibadah di Tanah Suci dan elakkan daripada terlibat dalam sebarang bantahan atau demonstrasi.
“Bersabarlah atas segala kepayahan dan dugaan yang mungkin akan dilalui terutama ketika berada di padang Arafah, Muzdalifah dan Mina,” titah baginda lagi.
Baginda turut mengingatkan kepada para jemaah agar menjaga kesihatan diri kerana ibadah Haji memerlukan banyak pergerakan fizikal yang sihat.
Baginda turut berkenan menasihatkan para jemaah Haji mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi supaya kita sentiasa berada di dalam keadaan aman sejahtera dan terhindar dari sebarang masalah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami