TANJONG KARANG: UMNO Bahagian Tanjong Karang sedia bertempur dan berjuang untuk memastikan rakyat terus memberikan sokongan kepada parti itu sekali gus mengekalkan kawasan itu sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Maruwan Ahmad berkata, parti itu bukan sahaja bersedia berdepan dengan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar malah dengan mana-mana parti yang tidak sealiran dengan perjuangan BN.

"Saya meminta kepada semua ahli UMNO Tanjong Karang dan kepimpinan UMNO bahagian supaya berpegang kepada prinsip perjuangan parti bukan perjuangan individu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Noh yang mahu menjadikan Parlimen Tanjong Karang sebagai kubu kuat Perikatan Nasional (PN) sekali gus membantu kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Maruwan memberitahu, UMNO bahagian itu akan terus diperkasa menerusi pelbagai program mendekati rakyat.

"UMNO akan terus diperkuatkan dengan mendekati anak muda, ziarah rumah ke rumah, program imarah masjid dan surau di peringkat Parlimen Tanjong Karang," ujar beliau.

Ditanya adakah terdapat gelombang ahli parti yang kekal setia bersama Noh, Maruwan memberitahu, setakat ini terdapat pihak tertentu masih meneruskan sokongan kepada bekas Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang berkenaan.

"Sebelum ini pun memang ada ahli akar umbi berpihak kepada beliau (Noh) dan menyokong atas dasar simpati.

"Tetapi akar umbi yang memikirkan perjuangan parti dia akan tetap utuh dan teguh bersama BN dan UMNO di Tanjong Karang," jelas beliau.

Ditanya mengenai kesiapsiagaan UMNO menghadapi PRN Selangor, Maruwan menjelaskan, gerak kerja telah dijalankan seperti kajian sikap, daftar pemilih serta mencari punca kekalahan di Parlimen itu pada PRU15 lalu.

"Sebagai contoh kita akan perincikan kekalahan di beberapa PDM (pusat daerah mengundi)," ujarnya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan Noh mahu memastikan Parlimen Tanjong Karang sebagai kubu kuat PN seperti usaha yang pernah dilakukan beliau lebih 30 tahun lalu dalam membangunkan Barisan Nasional (BN). - Sinar Harian