UMNO perlu sentiasa bersiap-siaga bagi menghadapi ancaman politik pembangkang yang kebelakangan ini memutarbelitkan fakta bagi memesong pemikiran rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, pembangkang menerusi media sosial semakin aggresif melancarkan pelbagai bentuk propaganda termasuk fitnah dan adu domba bagi memburukkan kepimpinan kerajaan dan UMNO.

"Pembangkang mensasarkan pemimpin UMNO dengan pelbagai tuduhan tidak berasas seperti memutarbelitkan beberapa isu yang bersangkutan dengan kepentingan rakyat.

"Pembangkang akan menggunakan apa sahaja untuk memesong perhatian rakyat supaya tercetus kebencian dan kegusaran terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) selaku parti pemerintah," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.com miliknya.

Syed Ali turut mengingatkan pemimpin UMNO di setiap peringkat supaya tidak menganggap parti sentiasa kebal dan mereka boleh 'tidur lena'.

"Rakan-rakan komponen BN juga seharusnya mempunyai iltizam untuk menambah baik agenda perjuangan agar keyakinan rakyat tidak terhakis seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

"Bukan setakat UMNO, rakan-rakan komponen BN juga hendaklah bekerja keras memastikan BN sentiasa mendapat sokongan rakyat selain semua pihak harus bertanggungjawab menjamin kemenangan yang mutlak," tegasnya.

Tegasnya, semua ahli UMNO diminta tidak beranggapan parti khususnya BN sentiasa kebal sehingga ada yang berpeluk tubuh.

"Sebaliknya kita perlu melihat kepada realiti semasa betapa asakan pembangkang semakin aggresif untuk menumbangkan BN pada PRU akan datang.

"Kita kena bekerja keras mempertahankan kekuatan UMNO dan dalam masa yang sama teguh di belakang kepimpinan kerajaan BN yang diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi," tegasnya.

Tambahnya, UMNO kini berdepan dengan ancaman politik bentuk baru yang banyak dipengaruhi oleh sentimen generasi muda.

"Pemikiran generasi muda yang semakin kreatif dan agresif dilihat satu bentuk aliran baru dalam senario politik masa kini.

"UMNO juga seharusnya mensasarkan pendekatan terhadap golongan muda supaya mereka lebih memahami dan menghayati makna sebenar perjuangan yang diperkasakan UMNO.

"Generasi muda perlu sentiasa disemaikan dengan benih-benih patriotik dan erti perjuangan UMNO mengangkat martabat serta maruah orang Melayu dan umat Islam di negara ini," tegasnya.

Ujarnya Syed Ali lagi, sudah menjadi tanggungjawab setiap pemimpin UMNO untuk menjelaskan kepada rakyat terutama di peringkat akar umbi berhubung beberapa isu yang menyentuh kehidupan rakyat.

"Akar umbi perlu diberikan penjelasan sejelas-jelasnya agar ruang kekeliruan itu tidak dipergunakan pembangkang untuk memburukkan UMNO dan BN.

"Pemimpin UMNO hendaklah turun padang bertemu rakyat dan usaha sedemikian sepatutnya tidak dilakukan secara bermusim.

"Sikap sambil lewa atau mengambil mudah terhadap keluhan rakyat juga akan memberi kesan negatif kepada parti," katanya.

Katanya yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, ahli-ahli UMNO perlu kembali merapatkan saf perpaduan dan kekal teguh di belakang kepimpinan parti seperti yang termaktub dalam acuan perjuangan dan perlembangan parti.

Ketika mengulas perbalahan yang semakin ketara membabitkan PAS dan AMANAH, Syed Ali menjelaskan masalah itu membabitkan rumah tangga pembangkang.

"Bukan sahaja PAS dengan AMANAH, malah turut membabitkan PKR dan DAP dalam pakatan pembangkang. Ini membuktikan pembangkang tidak mempunyai hala tuju dalam perjuangan membela nasib rakyat.

"Pembangkang hanya memikirkan bagaimana untuk mengaut keuntungan politik dan meraih kuasa walaupun dengan memecahbelahkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini," jelasnya.