MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menegaskan tidak mahu 'ambil pusing' dakwaan kononnya bakal ada usul undi tidak percaya dibangkitkan terhadapnya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu, hujung bulan ini.

Beliau berkata, angin politik yang sengaja ditiupkan dengan spekulasi seumpama itu merupakan suatu perkara biasa.

Malah katanya, beliau bersedia dengan apa jua kemungkinan dan mencabar mana-mana wakil rakyat untuk mengemukakan usul berkenaan.

“Spekulasi itu perkara biasa, saya tidak mahu komen (kerana) pada saya tidak ada apa yang berlaku pun.

I want to see, is it happen or not (Saya nak tengok, perkara itu berlaku ataupun tidak), kalau ada undilah apa ada hal, saya tak takut apa-apa,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Pelan Strategik Jabatan Ketua Menteri Melaka 2022-2025 dan Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam negeri Melaka tahun 2022 di Bandar Hilir, hari ini.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu turut mempersoalkan bagaimana spekulasi berkenaan boleh timbul sedangkan pentadbirannya berada dalam keadaan aman.

“Saya tidak tahu dari mana perkara ini datang dan mungkin ada orang tak suka melihat kita berada dalam keadaan aman dan tenteram,” tambahnya.

Sebelum ini angin politik Melaka bertiup kencang kononnya Sulaiman bakal berdepan undi tidak percaya dalam persidangan DUN yang akan bersidang mulai 25 Julai ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut dilaporkan memberi jaminan tidak akan ada sebarang tindakan mengkhianati mandat rakyat seperti didakwa.

Beliau berkata mandat yang diperolehi ketika Pilihan Raya Negeri pada November tahun lepas perlu dihormati.