KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil maklum dan memandang serius isu yang berlaku berhubung tindakan seorang penceramah warga asing mengeluarkan kenyataan yang dilihat mencetuskan kontroversi dan tidak menghormati sentimen masyarakat, seperti yang tular di media sosial.

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, beliau telah mengarahkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri penceramah itu dibatalkan segera.

Malah, tegasnya, beliau turut meminta Universiti Malaya (UM) untuk menyiasat perkara tersebut dan melaporkan segera butiran lanjut.

"Pada masa sama, suka untuk saya ingatkan kepada setiap agensi dan institusi di bawah KPT agar peka, berhati-hati dan membuat semakan latar belakang dengan teliti sebelum menjemput mana-mana individu atau pihak ke majlis dan program yang dianjurkan.

"Setiap keputusan yang diambil perlu mengambil kira sensitiviti dan selari dengan polisi serta pendirian kerajaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Jelas Zambry, walaupun IPT diberi autonomi untuk memutuskan program-program intelektual tetapi
itu bukan bermakna institusi bebas secara mutlak sehingga tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat dan majoriti rakyat Malaysia.

Terdahulu, Universiti Malaya mendapat kecaman kerana membenarkan seorang ahli akademik Amerika Syarikat menyebarkan propaganda Zionis dan menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin menyebarkan kebencian terhadap Yahudi.