SHAH ALAM: Festival Usahawan Gempak yang berakhir malam ini merupakan satu inisiatif baik dalam memperkasa budaya digitalisasi dan teknologi dalam perniagaan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, usahawan tempatan perlu bersedia untuk menyahut cabaran dalam era digitalisasi bagi membolehkan mereka bersaing dan meneruskan kelangsungan perniagaan.

"Inovasi dan kebolehsuaian amat penting dalam dunia masa kini. Saya yakin bahawa penyerapan teknologi dalam perniagaan mampu melonjakka para usahawan dan perusahaan ke tahap yang lebih tinggi dalam usaha perniagaan mereka yang dapat membangunkan ekonomi negara serta meletakkan Malaysia sebagai hub usahawan di masa hadapan.

"Sekiranya kita melihat kemajuan Silicon Valley di Amerika Syarikat, mereka memberi tumpuan kepada perkembangan teknologi dan penemuan baharu dalam membentuk dunia masa hadapan.

"Sebagai negara yang ingin memperkasa diri dalam era digital ini, kita perlu mengambil iktibar daripada daya saing mereka dan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi," katanya.

Justeru, untuk tujuan itu, Fahmi sekali lagi mengulangi janji untuk memastikan sasaran 80 peratus kawasan berpenduduk mendapat liputan rangkaian 5G sebelum akhir tahun ini, selain akan turut menumpunkan pada usaha menangani isu kestabilan jaringan internet.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Usahawan Gempak 2023 di Stadium Malawati, pada Ahad.

Seramai 10 usahawan menerima anugerah berupa plak penghargaan dari kerajaan negeri Selangor melalui Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) .

Antara penerima anugerah ialah penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mewakili syarikatnya, CTDK Holdings Sdn Bhd, Farm Fresh Berhad, CUCKOO International Sdn Bhd dan Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd.