Skip to main content
Advertisement

Malaysia

UTM perkukuh kedudukan sebagai hab penyelidikan aeroangkasa

Sumber: UTM
UTM memperluaskan peranan sebagai hab penyelidikan aeroangkasa negara menerusi kerjasama industri serta pembangunan kemudahan penyelidikan dan modal insan berkemahiran tinggi. - Foto UTM
Advertisement

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara hab penyelidikan aeroangkasa utama negara menerusi pembangunan ekosistem penyelidikan yang menyokong inovasi, pembangunan bakat serta kerjasama strategik bersama pemain industri.

Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM, Prof Madya Mohd Azizi Mat Yajid berkata, kedudukan strategik universiti itu dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) membuka lebih banyak peluang kepada pelajar dan penyelidik untuk menjalinkan hubungan dengan industri aeroangkasa di peringkat serantau dan antarabangsa.

“UTM sangat bernasib baik kerana berada dalam Johor Singapore Special Economic Zone di mana kita boleh mengembangkan lagi peluang-peluang berkaitan dengan aerospace ataupun aeronautical engineering itu ke pihak antarabangsa, terutama dengan rakan negara kita Singapura” katanya.

Menurut beliau, UTM turut mempunyai kelebihan dari segi jaringan industri yang membolehkan pelajar mendapat pendedahan secara langsung melalui latihan industri, penyelidikan bersama serta penempatan di syarikat berkaitan aeroangkasa.

Jelasnya, hubungan rapat dengan syarikat industri juga membantu mempercepatkan pemindahan teknologi dan pembangunan kepakaran yang diperlukan industri pada masa kini.

“Kita terlibat secara langsung dengan GKN Aerospace di Nusa Jaya, BUNS Aerospace. Jadi maksudnya nama UTM itu sendiri telah ada di kalangan pemain industri dalam bidang ini” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, beliau berkata UTM turut disokong kemudahan penyelidikan bertaraf antarabangsa termasuk terowong angin berskala besar yang digunakan bagi tujuan kajian aerodinamik melibatkan pesawat, dron, kenderaan serta pembangunan teknologi baharu.

Tambahnya, pengukuhan kerjasama industri dan pembangunan bakat akan terus menjadi fokus universiti bagi memastikan bidang aeroangkasa tempatan mampu berkembang dengan lebih mampan dan berdaya saing.

 

 

Must Watch Video

Advertisement