JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diiktiraf sebagai institusi dalam tangga teratas antarabangsa bagi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 7: Tenaga Berpatutan dan Bersih susulan usaha universiti itu dalam memastikan akses kepada tenaga berpatutan, boleh dipercayai, mampan dan moden untuk semua.

Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail dalam kenyataan berkata kepimpinan universiti dalam SDG 7 dapat dilihat menerusi inisiatifnya mempromosi tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur, seperti panel solar di kampus-kampusnya.

"Universiti telah menerima anugerah berprestif seperta Anugerah Tenaga Nasional 2022 dan Tarif Elektrik Hijau daripada Tenaga Nasional atas komitmennya melanggan 500 blok elektrik dijana daripada punca tenaga boleh diperbaharui.

"SDG 7 memfokuskan pada memastikan akses kepada tenaga berpatutan, boleh dipercayai, mampan dan moden, dan dedikasi UTM kepada matlamat ini dibuktikan menerusi pelbagai inisiatifnya mempromosi tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga dan amalan lestari di dalam dan luar kampus," katanya hari ini.

Dalam edisi terkini Times Higher Education (THE) Impact Ranking, UTM telah melibatkan diri dalam inisiatif SDG 7 dan mencapai kejayaan membanggakan, mengekalkan ranking keseluruhannya pada tangga 101-200 daripada 1,591 institusi yang mengambil bahagian di seluruh dunia.

UTM telah menunjukkan peningkatan cemerlang dengan empat SDG berada pada ranking 100 Teratas: masing-masing SDG 7 (#1), SDG 9 (#39), SDG 4 (#70), adan SDG 16 (#96).

Sementara itu, Ahmad Fauzi berkata UTM turut berbangga berjaya mengekalkan kedudukan universiti itu sejak 2022 sebagai universiti paling hadapan di Malaysia untuk SDG 9: Industri, Inovasi dan Infrastruktur yang dinilai berdasarkan penyelidikan universiti dalam industri dan inovasi, jumlah paten dan syarikat 'spin-off' dan hasil pendapatan penyelidikan daripada industri.

"Bagi mencapai ini, UTM telah melaksanakan beberapa inisiatif. Pertama, ia mewujudkan makmal satelit industri di kampus, sekali gus membolehkan syarikat untuk membangunkan penyelidikan dan fasiliti dalam premis universiti.

"Makmal-makmal ini menyediakan platform untuk penyelidikan, pelajar dan ahli profesional industri untuk berkolaborasi dalam projek, berkongsi sumber dan bertukar-tukar pengetahuan.

"Universiti juga telah melancarkan program inkubator inovasi untuk menyediakan sokongan dan sumber kepada kakitangan dan pelajar, dan syarikat permulaan, menggalakkan budaya inovasi dan keusahawanan dalam komuniti universiti," katanya.

Ahmad Fauzi berkata Pelan Tindakan Kelestarian UTM 2030 yang dilancarkan awal tahun ini akan membantu universiti berkembang dalam menjana impak menerusi penyelesaian berinovasi, sekali gus memastikan mereka terus ke hadapan dalam mencipta impak signifikan demi kemaslahatan masyarakat dan alam sekitar.

-- BERNAMA