Skip to main content

Malaysia

UTM universiti awam pertama miliki infrastruktur HPC GPU termaju

Dengan adanya infrastruktur ini, UTM berada pada kedudukan yang lebih baik untuk menyediakan persekitaran penyelidikan, pembelajaran dan inovasi yang diperlukan bagi melahirkan generasi bakat AI. - Foto fail/BERNAMA
Dengan adanya infrastruktur ini, UTM berada pada kedudukan yang lebih baik untuk menyediakan persekitaran penyelidikan, pembelajaran dan inovasi yang diperlukan bagi melahirkan generasi bakat AI. - Foto fail/BERNAMA

Advertisement

Ringkasan AI

  • UTM menjadi universiti awam pertama di Malaysia memiliki infrastruktur Pengkomputeran Berprestasi Tinggi (HPC) GPU termaju untuk memacu penyelidikan dan inovasi AI negara.
  • Infrastruktur ini menampilkan superkomputer GPU terpantas dalam kalangan UA, berupaya melatih model AI berskala besar sehingga satu trilion parameter dengan sokongan rangkaian 400 Gbps InfiniBand.
  • Kemudahan ini memperkukuh peranan UTM sebagai hab penyelidikan AI, memperluas peluang kerjasama strategik dan pembangunan bakat AI berkemahiran tinggi di Malaysia.

KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melakar sejarah sebagai universiti awam (UA) pertama di negara ini memiliki infrastruktur Pengkomputeran Berprestasi Tinggi (HPC) Unit Pemprosesan Grafik (GPU) termaju bagi memacu penyelidikan dan inovasi kecerdasan buatan (AI) negara.

Naib Canselor UTM Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata penyediaan infrastruktur itu memperkukuh ekosistem penyelidikan, pembelajaran dan inovasi AI di UTM, di samping menyediakan persekitaran yang membolehkan bakat tempatan membangunkan kompetensi selari dengan perkembangan teknologi serta keperluan industri.

“Dengan adanya infrastruktur ini, UTM berada pada kedudukan yang lebih baik untuk menyediakan persekitaran penyelidikan, pembelajaran dan inovasi yang diperlukan bagi melahirkan generasi bakat AI yang bersedia memenuhi keperluan industri dan negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Infrastruktur tersebut dilancarkan semalam bersempena dengan Majlis Bersama Naib Canselor UTM di UTM Kuala Lumpur, sebagai langkah strategik universiti menyediakan ekosistem pengkomputeran AI gred industri bagi menyokong penyelidikan dan pembangunan AI berskala besar.

Ditempatkan di Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), kemudahan itu menampilkan supercomputer GPU terpantas dalam kalangan UA dengan menggunakan seni bina NVIDIA Blackwell yang berkeupayaan melatih serta menjalankan model AI berskala besar hingga satu trilion parameter dengan sokongan rangkaian 400 Gbps InfiniBand.

Sistem itu mempunyai kuasa pemprosesan hingga 72 PFLOPS bagi latihan dan 144 PFLOPS bagi inferens, sekali gus memperluas kapasiti UTM dalam bidang seperti Large Language Models (LLM), computer vision dan simulasi kompleks yang memerlukan kuasa pemprosesan tinggi.

Menurut kenyatan itu, kemudahan berkenaan turut dilengkapi dengan makmal stesen kerja AI dengan 120 unit komputer desktop AI membolehkan hingga 120 mahasiswa dan penyelidik membangunkan serta melatih model AI secara serentak.

Kemudahan itu juga menyediakan akses kepada persekitaran pengkomputeran gred industri serta menyokong pembangunan bakat AI berkemahiran tinggi yang mampu menguasai penggunaan teknologi serta perkakasan AI termaju selaras dengan keperluan industri.

Keupayaan pengkomputeran yang dipertingkatkan itu membuka ruang kepada penyelidik membangunkan penyelesaian berteraskan AI bagi menangani keperluan negara, termasuk dalam sektor kesihatan, perkilangan pintar dan pembangunan sistem berasaskan bahasa tempatan.

Pada masa sama, infrastruktur berkenaan memperkukuh peranan UTM sebagai hab penyelidikan dan inovasi AI, selain memperluas peluang kerjasama strategik dengan industri, agensi kerajaan serta rakan penyelidikan pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Penyediaan HPC GPU Infrastructure itu merupakan sebahagian daripada pelaburan RM20 juta oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah Belanjawan 2024 kepada UTM bagi menyokong penubuhan FAI, fakulti AI pertama di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement