TELUK INTAN: Kira-kira 76 peratus daripada 10,924 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Perak dijangka akan menerima suntikan vaksinasi COVID-19 fasa pertama secara berperingkat mulai 12 Mac ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata bagaimanapun sejumlah 24 peratus pegawai dan anggota tidak sesuai untuk diberikan suntikan vaksin berkenaan kerana mempunyai masalah kesihatan antaranya alahan, menghidap penyakit, mengandung dan menyusukan anak.

"Setakat ini, kita tidak membuat pengiraan secara khusus (pegawai dan anggota yang tidak menerima vaksin) tetapi kita akan buat kajian berapa ramai yang tidak sesuai terima suntikan vaksin.

"Disebabkan itu, kontinjen Perak tidak dapat mencapai 100 peratus pegawai dan anggota yang menerima suntikan vaksin " kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata seorang pegawai dan lima anggota polis lelaki yang ditahan dalam serbuan parti liar di sebuah pangsapuri di Ipoh pada 26 Feb lepas telah dibebaskan dengan jaminan polis pada 1 Mac, selepas direman empat hari.

BACA: Pegawai, anggota polis ditahan sertai parti liar

"Ujian saringan air kencing kesemua mereka telah dihantar ke Jabatan Patologi untuk dianalisis dan jika keputusannya masih positif, kita akan rujuk kertas siasatan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk mendapatkan arahan pertuduhan di mahkamah," jelasnya.

Beliau berkata hasil siasatan pihaknya mendapati parti liar itu dianjurkan sendiri oleh pegawai dan anggota polis berusia 20 hingga 40 tahun yang kesemuanya bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Pada 26 Feb lepas, Mior Faridalathrash dilaporkan berkata bertindak atas maklumat, polis menahan 14 individu termasuk seorang pegawai dan lima anggota polis lelaki dalam serbuan parti liar, kira-kira 1.30 pagi.

Kesemua yang ditahan berusia 20 hingga 50 tahun itu turut melibatkan lima wanita tempatan dan tiga wanita warga Indonesia.

-- BERNAMA