KUALA LUMPUR: Pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari segi logistik, bagi mempercepatkan proses vaksinasi, khususnya di kawasan pedalaman, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, bentuk muka bumi kawasan pedalaman, termasuk di Sabah dan Sarawak, biasanya cukup mencabar, dan sukar diakses oleh kenderaan biasa.

Beliau berkata, pihak tentera mempunyai jentera yang berkeupayaan untuk pergi ke kawasan tersebut, sama ada melalui laluan darat, sungai, malah boleh menggunakan helikopter, bagi memastikan masyarakat di sana tidak terkecuali dari menerima vaksin.

“Kita sudah berbincang, kita tidak mahu bawa masyarakat pedalaman keluar ke bandar, tapi kita masuk sampai ke perkampungan mereka.

“Di kawasan yang susah, tentera boleh terlibat. Masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, yang tidak ada akses pun, kita tidak boleh tinggalkan mereka.

"Jadi kita bawa paramedik, doktor dan sebagainya. Kalau tidak ada akses langsung, kita ada helikopter,” katanya lagi.

Ismail Sabri berkata kepada sidang media selepas selesai meninjau hari kedua pelaksanaan PPV Pandu Lalu di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.

Sidang media Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob | 8 Jun 2021


Turut menyertai program tinjauan itu ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang, dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.